Pasal Bersatu, undang-undang anti lompat parti lompang

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menegaskan bahawa Bersatu Ketika menjadi kerajaan tidak bersetuju bahawa wakil rakyat yang dipecat perlu mengosongkan kerusi.

Oleh sebab itu, katanya, Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan mengenai lompat parti mempunyai kelompongan yang ketara.

“Dengan keputusan Speaker dalam hal 6 Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, tiba masa kita pertimbangkan untuk pinda Perkara 49A(2)(c) Perlembagaan.

“Bersatu adalah punca mengapa kita ada kelompongan ini, yang cuba diperbaiki melalui pindaan oleh parti politik dalam perlembagaan parti.

Muhyiddin Yassin

“Selepas 6 Ahli Parlimen menyatakan sokongan pada PM, barulah mereka terhegeh-hegeh untuk pinda perlembagaan mereka.

“Kalau bukan kerana Bersatu, undang-undang anti lompat parti kita akan lebih ampuh.

“Bak kata pepatah Inggeris, mereka “authors of their own misfortune”,” ujarnya menerusi kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2022 tidak bersetuju seorang Ahli Parlimen yang dipecat daripada parti atau meninggalkan parti atas sebab-sebab tertentu perlu mengosongkan kerusinya.

Pendirian Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu dinyatakannya dalam Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (no. 3) pada April 2022.

Mengulas lanjut, Syahredzan bertanyakan sama ada Bersatu yang juga sekutu Pas dalam blok Perikatan Nasional (PN) itu akan melakukan pusingan-U.

“Persoalan yang saya ingin utarakan kepada Bersatu adalah adakah anda semua bersedia untuk ‘u-turn’ pendirian anda dan sokong pindaan kepada Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan?” soalnya.

BACA JUGA Kontroversi promosi produk menyerupai alat sulit: Apa kata Neelofa?