Usaha kerajaan berhasil tambah baik prestasi ringgit – Menteri Kewangan II 

Strategi kerajaan memulihkan ekonomi akhirnya membuahkan hasil apabila prestasi ringgit semakin mengukuh sejak enam bulan kebelakangan ini, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, dengan usaha bersepadu dan pengurusan fiskal yang efisien serta berdisiplin, beliau yakin prestasi matawang pada separuh kedua 2024 akan bertambah baik.

Selain melihat kepada keadaan semasa nilai ringgit, katanya Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga memainkan peranan penting dalam membina ekonomi negara lebih baik.

“OPR yang kita ada kekal dalam tempoh yang sama dan impaknya, ringgit makin kuat malah OPR tak dinaikkan juga.

“Impaknya bagus dari segi kewangan tapi tak semua negara yang ikut fahaman yang sama, ada yang naikkan untuk tingkatkan ‘currency’ tapi impaknya kepada rakyat lebih teruk.

“Alhamdulullah usaha kita dapat jana ringgit lebih baik lagi,” katanya dalam lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, hari ini

Pada masa sama Amir Hamzah berkata, prestasi ringgit bertambah baik didorong dari usaha meningkatkan interaksi dengan pengeksport untuk menukar hasil kepada Ringgit Malaysia serta memantau penukaran hasil eksport dan import.

Ringgit pada semalam berada pada sekitar 4.68 berbanding dolar Amerika dan kini semakin konsisten di bawah paras bawah 4.70.

Sementara itu sebuah bank pelaburan menjangkakan Ringgit dijangka meningkat pada minggu hadapan kepada 4.65 berbanding dolar AS, yang disokong oleh petunjuk ekonomi positif.

BACA JUGA Larangan merokok raih perhatian, kedai letak notis “perokok akan ditembak”