KPDN sambut baik peruntukan RM100 juta Jualan Rahmah – Salahuddin
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyambut baik peruntukan RM100 juta yang dikhususkan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2023 untuk program Jualan Rahmah.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata peruntukan itu membuktikan Kerajaan Perpaduan amat menganbil berat terhadap bebanan kos sara hidup rakyat.
“Bagi memastikan rakyat terus mendapat pembelaan dalam menghadapi cabaran kenaikan kos sara hidup, program menstabilkan kos sara hidup rakyat telah diberikan tumpuan melalui Konsep Payung Rahmah, di antaranya Kempen Menu Rahmah, Bakul Rahmah dan Jualan Rahmah.
“RM100 juta yang diperuntukkan bagi tujuan Program Jualan Rahmah akan membolehkan KPDN melaksanakan jualan ini di kesemua 222 kawasan Parlimen, bagi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.
“Melalui program ini, rakyat akan dapat menikmati harga barangan asas sehingga 30% lebih murah berbanding harga pasaran,” kata Salahuddin dalam kenyataan segera selepas pengumuman Belanjawan 2023 selesai.
Menurut beliau, Kerajaan Perpaduan turut prihatin terhadap nasib penduduk di luar bandar. Hal itu dapat dilihat melalui peruntukan sebanyak RM225 juta yang diluluskan untuk KPDN meneruskan Program Pengedaran Barangan Perlu, LPG dan Community Drumming.
Katanya, KPDN akan melaksanakan pengedaran barangan keperluan asas kepada penduduk di 822 kawasan pendalaman di Sabah, Sarawak, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Kedah. Ini termasuklah 25 kawasan pengedaran baharu antaranya di Paloh dan Passin, Sarawak; Pasir Raja, Terengganu dan Kuala Krai, Kelantan.
“Program ini akan memberi manfaat kepada 1.28 juta penduduk luar bandar di 6 negeri tersebut di mana mereka dapat membeli 7 barangan keperluan iaitu tepung gandum kegunaan am, gula putih bertapis kasar, beras putih dan minyak masak sawit tulen paket 1kg/ botol 1liter, Gas Petroleum Cecair (LPG) serta Petrol RON95 dan diesel pada harga yang ditetapkan oleh Kerajaan.
“KPDN komited untuk memastikan subsidi yang diperuntukkan ini akan dinikmati oleh golongan yang layak serta melaksanakan penguatkuasaan bagi mengelakkan ketirisan subsidi tersebut,” katanya lagi.
Selain itu, KPDN juga menyambut baik pengumuman Kerajaan untuk menggubal Akta Kredit Pengguna serta menubuhkan Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna bagi mengawal selia perniagaan kredit. Usaha tersebut, katanya, akan dapat melindungi hak-hak pengguna dan perniagaan.
BACA JUGA 70,000 guru KAFA, guru takmir, imam, bilal dapat RM600
Â