Usul gantung MP Machang dikemuka hari ini
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berdepan kemungkinan digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.
Tindakan itu susulan dakwaan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu mengenai surat layang kononnya mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Usul mencadangkan penggantungan Ahli Parlimen Bersatu itu terkandung dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) dan Usul-Usul bagi persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Mengikut aturan tersebut, usul berkenaan akan dikemukakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, sejurus selepas selesai sesi soal jawab.
Usul itu menyatakan, Wan Ahmad Fayhsal membawa perhatian suatu surat layang yang tidak dapat dikenal pasti identiti pengadu dan kesahihan maklumatnya.
Berdasarkan usul tersebut, ia bukan saja memberi kesan buruk kepada individu yang didakwa tetapi juga secara umum kepada pegawai agensi di bawah kementerian, yang mungkin teraniaya kerana tuduhan tidak berasas itu.
Wan Ahmad Fayhsal (WAF) dilihat sebagai pemimpin pembangkang yang kerap mengeluarkan kenyataan yang bukan-bukan sehingga menjadi bahan sindiran orang ramai di media sosial.
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu, menuntut penjelasan berhubung keputusan penjualan sebahagian saham MAHB selepas beliau dikatakan menerima satu surat layang mendedahkan ‘dalang’ di sebalik keputusan berkenaan.
Tidak pernah mana-mana ahli Parlimen membawa surat layang sebagai asas hujah di Dewan Rakyat, WAF secara terbuka turut menamakan individu terbabit yang didakwanya pegawai atasan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Sebelum itu, dia mengemukakan usul tergempar bagi menggesa penangguhan atau pembatalan penjualan sebahagian saham MAHB kepada syarikat berkait BlackRock, Global Infrastructure Partners (GIP), namun usul itu ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
BACA JUGA Tak sanggup ‘downgrade’ diri, Azmin didakwa tolak jawatan Setiausaha Agung Bersatu
Â