Ekonomi terbukti mengukuh, pedas pesanan Rafizi buat ‘walaun’
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ramai tidak mahu menerima fakta bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia semakin mengukuh ketika ini.
Katanya, ramai akan mendakwa kononnya ekonomi negara semakin merudum, namun fakta akan menjawab semua dakwaan itu.
“Kalau fakta tentang prestasi ringgit yang menjadi mata wang kedua terbaik di Asia, dan prestasi bursa saham yang menambah nilai melebihi 20 peratus dalam masa setahun pun belum cukup, saya akan tambah satu lagi fakta ekonomi yang baru keluar.
“Hari ini, Jumaat 19 Julai, Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) mengeluarkan anggaran awalan atau ‘advance estimate’ angka pertumbuhan ekonomi negara bagi suku kedua dari April hingga Jun 2024,” katanya di media sosial.
Ekonomi Malaysia diramal tumbuh 5.8% bagi suku kedua 2024 berbanding suku yang sama tahun lepas.
Prestasi baik ini kata Rafizi dijangka akan terus mendorong pengukuhan nilai ringgit dan kenaikan pasaran saham, selain terus menarik pelaburan yang mewujudkan peluang pekerjaan baru kepada rakyat.
Namun katanya, kita akan sering terdedah kepada risiko pembodohan di media sosial yang mengatakan ekonomi negara merudum.
“…tetapi fakta-fakta ini membezakan antara mereka yang menghormati ilmu dan mereka yang memalingkan muka dari ilmu.
“Insya Allah ekonomi negara akan terus mengukuh, tetapkan hati kita untuk sama-sama menyumbang membina semula ekonomi negara.
“Jangan marah bila data menunjukkan ekonomi semakin mengukuh. Pesan kawan saya dari utara… “panas tak pe jangan koyak”,” katanya lagi.
BACA JUGA Tak ‘censored’ logo Instagram, patutlah TikTok padam video Dr Sam!