Baca Qunut Nazilah kepada sesama Islam, apa kata Mufti Wilayah?

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP) hari ini tampil menjawab isu Qunut Nazilah yang digunakan kepada umat Islam yang lain.

Menjawab soalan dikemukakan di Facebook, pejabat itu berkata umat Islam tidak boleh membaca Qunut Nazilah kepada sesama Muslim ketika terdapat pertembungan tidak mengira apa jua sebabnya termasuk perselisihan politik.

Pejabat Mufti WP menyatakan tindakan sedemikian akan menjerumuskan seseorang kepada perbuatan ekstrim dan melampau dalam agama.

“Doa Qunut Nazilah merupakan satu doa yang dibaca apabila umat Islam ditimpa musibah yang besar. 

“Hal ini seperti mana pernah dilakukan Rasulullah SAW yang membacakan doa Qunut Nazilah apabila berlaku pengkhianatan dan pembunuhan ke atas sahabat Baginda,” katanya menurut Bernama.

Menurut jawapan itu, berdasarkan pengamalan Rasulullah SAW dan sahabat serta pandangan para ulama, dapat dilihat dengan jelas bahawa doa Qunut Nazilah hanya dibacakan kepada musuh daripada golongan kafir dan murtad sahaja serta tidak ke atas umat Islam sesama sendiri.

Selain itu, Saidina Abu Bakar al-Siddiq juga pernah membaca doa ini ketika memerangi golongan murtad seperti Musailamah al-Kazzab. 

Manakala Saidina Umar al-Khattab juga membaca doa ini apabila memerangi golongan Nasrani.a

Di samping itu, Pejabat Mufti WP menyatakan Imam al-Nawawi menyebut sebab dibacakan doa Qunut Nazilah ialah umat ditimpa dengan musibah seperti ketakutan, kebuluran, wabak penyakit dan serangan serangga.

“Oleh yang demikian, apa yang dapat diperhatikan daripada nas dan pernyataan ulama, doa Qunut Nazilah ini dibacakan ke atas golongan kafir dan murtad yang diperangi oleh orang Islam serta pada musibah besar yang menimpa mereka,” katanya.

Terdahulu, kecoh apabila pembangkang membaca doa Qunut Nazilah selepas Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.

Wan Ahmad Fayhsal digantung daripada sidang Parlimen kerana membangkitkan surat layang yang tidak sahih ketika perbahasan. Surat layang itu berkaitan dakwaan ke atas penjawat awam dengan maklumat yang tidak disahkan.

BACA JUGA Melampau kaitkan dengan arak, Aiman Athirah tuntut tarik balik 48 jam

Â