Heboh RTM ‘ucap takziah’ sempena Istiadat Pertabalan Agong, rupanya Facebook salah terjemah

Heboh di media sosial apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) didakwa memuat naik sebarang ‘ucapan takziah’ dalam bahasa Inggeris sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara semalam.

Namun, rupanya apa yang dipaparkan di laman Facebook Rasmi RTM adalah terjemahan automatik oleh sistem Facebook.

Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Penyiaran Malaysia dalam kenyataan memaklumkan terjemahan bahasa Inggeris akan muncul jika pengguna mengaktifkan terjemahan automatik.

“Terjemahan bahasa Inggeris oleh sistem Facebook tersebut adalah salah. RTM tidak memuat naik sebarang kandungan ucapan takziah sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa RTM telah membuat laporan polis, dan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menghubungi META berkaitan salah terjemahan oleh sistem META itu.

“META juga telah mengesahkan bahawa mereka telah membetulkan ‘masalah’ tersebut,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut melahirkan rasa kesal terhadap sesetengah pihak yang menuduh RTM membuat hantaran jelik dalam bahasa Inggeris.

“Ada orang tuduh RTM buat FB post jelik dalam Bahasa Inggeris. Padahal posting asal dalam BM. Kemudian disebar fitnah, sampai ada yang minta saya “h*ng himself” (bunuh diri sendiri).

“Jangan buat begini. Berlaku adillah kepada RTM. Jangan Fitnah,” katanya dalam catatan di Facebook rasmi beliau.

BACA JUGA Menjelang PRN Sabah ke -17: Apa nasihat Bung Moktar?

Â