Beli rumah pun ‘makan’ tahun baru dapat kunci, inikan projek pelaburan mega
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz secara perbandingan menyatakan kemajuan pelaburan mega dengan proses untuk mendapatkan rumah.
Mengambil contoh pelaburan sebuah syarikat di Sedenak Tech Park (STeP) di Johor, beliau berkata, Princeton Digital Group (PDG) telah merealisasikan RM2 bilion daripada keseluruhan RM7.1 bilion komitmen pelaburan.
“Tahniah atas pusat pembukaan pusat data AI berskala mega di Sedenak Tech Park, Johor.
“Ini sebenarnya sudah dikira pantas sebab pelaburan mengambil masa 18 hingga 24 bulan untuk direalisasikan.
“Beli rumah dengan pemaju pun boleh makan tahun baru dapat kunci. Inikan pula kompleks mega dengan peralatan canggih dan terkini.
“Siapa yang lepas kerajaan umum pelaburan, terus nak tengok mana kilang tu, boleh suruh dia buat rumah sebiji. Nak tengok,sehari boleh siap tak?” katanya menerusi siaran di akaun TikTok beliau.
Beliau menambah pelaburan PDG juga menyaksikan 100 peratus pekerja adalah rakyat Malaysia manakala 70 peratus adalah anak Johor.
“Beginilah pelabur yang kita mahu, mengutamakan anak tempatan,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Zafrul menjelaskan pendigitalan adalah salah satu asas Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030) dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai hab AI Generatif serantau.
“Dari 2021 hingga Mac 2024, jumlah pelaburan digital yang diluluskan berjumlah hampir RM162 bilion, dengan pusat data dan awan menyumbang 76% atau RM123 bilion daripada jumlah pelaburan digital yang diluluskan.
“Pelaburan-pelaburan ini telah menjana hampir 3,700 peluang pekerjaan.
“Pelaburan ini adalah bukti daya saing Malaysia untuk menerajui ekonomi digital rantau ini,” tambahnya lagi.
BACA JUGA Biden sudah tiada majlis rasmi hari ini selepas umum tarik diri rebut jawatan Presiden AS
Â