PRK Nenggiri: Jentera pilihan raya tidak mahu fokus ceramah mega – Asyraf Wajdi
Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jentera
kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan tidak mahu fokus kepada ceramah-ceramah mega seperti beberapa siri PRK yang lalu.
“Kita tidak mahu fokus kepada ceramah umum dan kali ini tumpuan kita adalah sasaran berkelompok (focus targeting) pengundi. Sebab itu, kita akan kenal pasti ahli dan penyokong kita.
“Kita ada penyokong antara BN dan PH agar semua jentera dapat menumpukan kepada semua pengundi di Nenggiri tanpa tertinggal walaupun seorang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan BN-PH bagi PRK DUN Nenggiri, Kelantan di Menara Dato Onn, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Hadir sama, Pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari.
Dalam sidang media sama, Asyraf Wajdi memaklumkan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan termasuk komponen BN akan bekerjasama menggerakkan jentera kempen PRK Nenggiri pada 17 Ogos depan.
“Ya, (MCA dan MIC) sudah tentu (akan turun) apabila kita kata Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) semua sekali parti komponen akan terbabit.
“Semua yang berada dalam (Kerajaan Perpaduan) akan turun. Tidak timbul (boikot) sebab semangat BN-PH ini bukan apabila ketika PRK sahaja, semua akan rasa tanggungjawab untuk bersama,” katanya lagi.
Minggu lalu, BN Kelantan mengumumkan Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon PRK DUN Nenggiri.
Kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, mengumumkan kekosongan selepas ADUN, Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun lalu.
Seramai 20,259 pemilih terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis akan membuang undi pada 17 Ogos depan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menetapkan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 3 dan 13 Ogos.
Pelaksanaan PRK DUN N43 Nenggiri yang menelan biaya mencecah RM1.6 juta melibatkan pelantikan seramai 431 petugas bagi mengendalikan proses pilihan raya.
BACA JUGA Kes hasutan: Perbicaraan Sanusi ditangguh
Â