Bekas Speaker DUN Perak, Mat Isa meninggal dunia

Bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk Mat Isa Ismail, 74, meninggal dunia petang semalam.

Perkara itu dikongsikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi kenyataan di laman Facebook malam tadi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkongsi khabar duka mengenai pemergian Bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mat Isa Ismail.

Menurut beliau, Mat Isa meninggal dunia petang semalam pada usia 74 tahun.

Saarani turut berkongsi gambar beliau menunaikan solat jenazah bersama jemaah dan turut hadir ke pengebumian Allahyarham Mat Isa.

“Menerima khabar duka, mantan Speaker DUN Perak Datuk Mat Isa Ismail telah kembali ke rahmatullah lewat petang tadi. Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah buat roh Allahyarham.

“Mudah-mudahan Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya dan mengangkat darjatnya bersama orang-orang yang beramal soleh. Semoga keluarga Allahyarham tabah menghadapi saat-saat getir ini,” katanya di Facebook.

Mat Isa pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Sulit kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Tun Razak dari 1993 hingga 1995, selain menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering selama tiga penggal dari 1997 hingga 2008.

Beliau juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang bagi penggal 2001/2003 dan dilantik menjadi Speaker DUN Perak selama satu penggal bermula 2004.

BACA JUGA Netizen ‘throwback’ rakaman pembunuh Zulfarhan bergelak terlepas hukuman gantung

Â