‘Staff’ bank songlap RM2 juta, sempat pindah ke akaun sedara mara sebelum bunuh diri
Seorang kakitangan bank wanita di Kuala Kangsar, Perak didakwa mencuri duit pelanggan lebih RM2 juta dan dipindahkan ke 11 akaun berlainan.
Namun apa yang mengejutkan, wanita berusia 37 tahun itu yang juga suspek utama telah pun meninggal dunia pada 5 Julai lalu. Menurut laporan media, suspek mengambil nyawanya sendiri.
Bukit Aman berkata, wang yang dicuri telah dipindahkan oleh wanita tersebut ke 11 akaun milik kenalan, saudara-mara selain syarikat dan didapati telah digunakan mereka.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, wang terbabit dikeluarkan daripada tiga akaun simpanan tetap pelanggan melibatkan 108 transaksi sejak 14 Februari 2023 hingga 24 Jun lalu.
“Siasatan masih dijalankan termasuk terhadap pemilik akaun terbabit mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini pada Jumaat.
Pada 12 Julai, Sinar Harian melaporkan kehilangan wang yang didalangi kakitangan bank terbongkar selepas satu laporan diterima pihaknya pada 9 Julai lalu.
Kegiatan kakitangan itu hanya terbongkar apabila dua orang pemilik akaun simpanan tetap terbabit hadir ke bank untuk membuat pengeluaran wang dari akaun simpanan tetap pada 27 Jun lalu.
BACA JUGA Kerajaan kurangkan hutang negara, bukan cakap kosong, kata PM
Â