Bangunan tambahan Hospital Segamat beroperasi mulai awal Mac – KKM

Bangunan tambahan Hospital Segamat, Johor akan mula beroperasi secara berperingkat mulai 5 Mac depan, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM dalam kenyataan berkata majlis penyerahan bangunan tambahan itu disempurnakan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa yang menyaksikan Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) kementerian, Datuk Zamzuri Abdul Aziz menerima replika kunci daripada Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool pada Sabtu.

“Pembinaan bangunan tambahan adalah bertujuan menambah baik dan mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan di Hospital Segamat yang menerima peningkatan bilangan pesakit dari tahun ke tahun,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu, bangunan tambahan berkenaan melibatkan peningkatan 67 buah katil pesakit meliputi Jabatan Kecemasan dan Trauma yang mengandungi 37 katil, Dewan Bedah (empat), 18 katil di Unit Rawatan Rapi (ICU), High Dependency Unit (HDU) sebanyak 8 katil selain di Central Sterile Supply Department (CSSD) dan Respiratory and Haemodynamics Unit (RHU).

Di samping itu katanya KKM bukan sahaja menyediakan bangunan tambahan Hospital Segamat malah turut menyediakan tempat letak kenderaan tambahan sebanyak 422 lot untuk mengatasi isu kesesakan.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, Pengarah Kesihatan Johor Datuk Dr. Aman Rabu dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Johor Ir Abu Bakar Abdul Aziz.

BACA JUGA: Permintaan para doktor kontrak dalam perhatian Dr Zaliha

Â