Asyik tanya formula, Rafizi lancar inisiatif jualan makanan serendah harga RM2
Bagi yang sebelum ini asyik sibuk bertanya tentang formula yang bakal Rafizi Ramli kemukakan untuk menangani masalah bebanan kos sara hidup rakyat, hari ini Menteri Ekonomi itu ‘membuka langkah’ melontarkan jawapan-jawapannya.
Tanpa menunggu lama, Kementerian Ekonomi hari ini melancarkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan Madani 2023 pada Jumaat.
Rafizi berkata sebagai permulaan, IPR menyasarkan penjualan makanan siap seperti sarapan dan makanan tengah hari pada harga serendah RM2 dalam komponen Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN).
Katanya program itu juga membuka peluang kepada rakyat menjual makanan siap untuk menambah pendapatan mereka.
“Hari ini saya dan rakan-rakan di Kementerian Ekonomi bersama-sama masyarakat yang hadir melancarkan IPR di stesen LRT Cempaka.
“Matlamat IPR adalah berkonsepkan strategi serampang dua mata dengan menambah pendapatan keluarga miskin tegar dan B40 menerusi kegiatan-kegiatan ekonomi yang telah dikenal pasti oleh Kementerian Ekonomi,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu Rafizi bersama dua pemimpin negeri Pakatan Harapan (PH), Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminudin Harun melancarkan IPR di stesen LRT Cempaka.
Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sejumlah RM750 juta peruntukan disediakan kepada Kementerian Ekonomi untuk melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata sebagai permulaan, IPR akan dijayakan menerusi Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) yang akan melibatkan rakyat dalam aktiviti pertanian dan INSAN yang memberikan peluang rakyat menjana pendapatan tambahan menerusi penjualan makanan siap.
“Akhir sekali, adalah Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN) yang memberikan platform kepada rakyat yang berkemahiran dalam penyelenggaraan dan perkhidmatan untuk terlibat terus dalam aktiviti operator perkhidmatan,” katanya.
Tambahnya bagi menjayakan INTAN, IPR akan bermula dengan pembukaan 800 ekar tanah Kerajaan Persekutuan bagi memberi peluang kepada rakyat untuk terlibat dengan kegiatan pertanian.
“Begitu juga untuk INSAN, IPR menyasarkan menjual makanan siap seperti sarapan dan makanan tengah hari pada harga serendah RM2 di samping membuka peluang kepada rakyat menjual makanan siap untuk menambah pendapatan,” ujarnya.
Beliau berkata IPR ini adalah tanggungjawab bersama melibatkan golongan peniaga, professional, sukarelawan, sektor awam dan swasta.
“Saya menyeru seberapa ramai rakyat untuk turut serta dalam inisiatif tersebut,” ujarnya.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang IPR dan cara-cara memohon, anda boleh melayari laman web IPR https://ipr.epu.gov.my/about
BACA JUGA: Iltizam noktahkan miskin tegar, bantu 130,000 rakyat paling susah
Â