AMANAH kecam sekeras-kerasnya Amerika jemput PM Israel berucap di kongres
AMANAH mengecam sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Amerika Syarikat memperlekeh mahkamah keadilan antarabangsa (ICJ) apabila menjemput Perdana Menteri Israel berucap di Kongres mereka.
Ini kerana kata Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, ICJ sebelum ini telah memutuskan negara dan pemimpin Israel adalah penjenayah perang ketika negara haram itu menceroboh Palestin dan membunuh ribuan kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa.
Atas sebab itu tegasnya, langkah menjemput Benjamin Netanyahu berucap di Kongres adalah tindakan menghina keputusan yang dibuat oleh ICJ sebelum ini.
“Sebagai sebuah kuasa dunia yang kononnya menjulang tinggi prinsip keadilan dan hak asasi manusia, Amerika Syarikat tidak sewajarnya bertindak melanggar dan memperlekehkan institusi ICJ.
“Ianya tindakan yang tidak bertanggungjawab dan jelas bersifat hipokrit. Apa yang Amerika nak tunjuk pada dunia?,” soalnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sementara itu Khalid mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada beberapa Ahli Congress serta kumpulan Yahudi Ortodhox yang memulaukan sesi ucapan Nethanyahu.
Bekas Ahli Parlimen Shah Alam itu mencadangkan agar kerajaan Malaysia menghantar nota bantahan kepada Amerika bagi menyatakan bahawa tindakan Amerika dalam isu ini tidak boleh diterima.
AMANAH juga mencadangkan agar kerajaan Malaysia menggunakan hubungannya dengan negara-negara lain di dunia serta majlis-majlis antarabangsa untuk mengajak masyarakat antarabangsa mengecam langkah Amerika dan menuntut supaya Nethanyahu ditahan.
“Pembunuhan ke atas orang-orang yang tidak bersalah, khasnya kanak-kanak, wanita dan orang kurang upaya perlu dihentikan segera walaupun ketika berada di dalam kancah peperangan.
“Penjenayah perang seperti Netanyahu pula tidak wajar diraikan dan diberikan kesempatan untuknya menyampaikan mesej untuk menarik sokongan dunia ketika tangannya penuh dengan darah orang yang tidak berdosa.
BACA JUGA Dulu kecam, sekarang bincang, kenapa ye Pas jumpa PAP
Â