Masuk ‘last tang konar’, pengakuan Radzi Jidin lawan kemungkaran 1MDB dicemuh

Datuk Dr Radzi Jidin ibarat hanya masuk ‘last tang konar‘ apabila tampil membuat dakwaan kononnya melawan kemungkaran kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2018.

Ramai mencemuh kenyataan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkenaan memandangkan umum tahu Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah membangkitkan isu penyelewengan dana syarikat pelaburan negara itu sejak tahun 2011 lagi.

Terdahulu, Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya menerusi platform X mengimbas kembali tindakannya kembali ke tanah air ketika meraikan konvokesyen anak sulungnya di Sunway University.

Bekas Menteri Kanan Pendidikan itu memberitahu anaknya belajar di merata tempat dengan bersekolah rendah di Canberra dan Sydney manakala berada di bangku sekolah menengah pula di Sydney, Hobart dan Malaysia.

“Dia yang paling terkesan apabila abahnya buat keputusan meletakkan jawatan sebagai pensyarah di University of Tasmania dan kembali ke Malaysia semata-mata hendak melawan kemungkaran berkaitan 1MDB sejurus sebelum PRU pada 2018.

“Waktu itu, anak sulung saya di tahun-tahun terakhir pengajian menengah,” kata Radzi dalam catatan yang dimulakan dengan ungkapan “Harga sebuah perjuangan!”.

Menjengah di ruangan komentar, dilihat berduyun orang ramai membidas dakwaan Radzi itu selain menyindir wakil rakyat berkenaan.

“Bila hang lawan 1MDB? Yang lawan ni bermula daripada Anwar, Rafizi. Hang masuk last last tang konar,” kata Amwer Hamzah.

“Hang melawan kemungkaran 1MDB? Bila? Jana Bawah Meja masuk tak dalam senarai kemungkaran?” sindir @Nazril_Iznil.

Hal sama turut ditegaskan pengguna X, Naim Zaini bahawa ‘otai’ yang melawan penyelewengan 1MDB adalah Anwar, Rafizi dan Tony Pua.

“Anwar whistleblower. Rafizi dan Tony Pua investigator. Sampai kena keluar masuk lokap sebab lawan 1MDB. YB berapa kali masuk lokap ya? Tanya je,” perlinya.

BACA JUGA PRK Nenggiri: PN umum calon petang ini

Â