Ini sebab mengapa pengundi DUN Nenggiri perlu beri mandat kepada calon BN

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penduduk di Gua Musang khususnya di DUN Nenggiri bakal memperoleh pelbagai manfaat jika mengundi calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bulan depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya itu juga mengingatkan tentang hubungan rapat dengan Kerajaan Pusat yang tidak akan berlaku jika memberi kemenangan kepada calon Perikatan Nasional (PN).

“Sudah tentu sekiranya pengundi di DUN Nenggiri memilih calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, hubungan penduduk Gua Musang dan Nenggiri lebih rapat dengan Kerajaan Pusat.

“Calon kita mewakili Kerajaan Pusat, manakala calon PN hanya mewakili kerajaan negeri. Pengundi harus sedar, kerajaan negeri tidak mempunyai duit.

“Hanya Kerajaan Pusat saja yang mempunyai duit. Kita yakin pengundi DUN Nenggiri akan memberi mandat kepada kita pada 17 Ogos nanti,” katanya.

Ahmad berkata demikian Ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN yang dirasmikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri juga akan merasmikan majlis pecah tanah dan menyiapkan jalan perhubungan desa Orang Asli.

Jelasnya, kerja berkenaan membabitkan nilai RM190 juta itu akan dimulakan esok dan sudah tentu ia memberi kemudahan kepada Orang Asli di Nenggiri dan Gua Musang.

Pada masa sama, beliau meminta semua jentera pilihan raya bekerja kuat untuk memastikan kemenangan calon BN.

“Bagi jentera wanita, jangan hanya melakukan ziarah kasih, sebaliknya perbanyakkan ziarah mesra terhadap individu-individu yang berpengaruh.

“Untuk jentera lelaki pula, perbanyakkan ceramah kelompok dan pastikan dapat menarik mereka yang berada di atas pagar,” sarannya lagi.

BACA JUGA Isu Kampung Sungai Baru: Kerajaan jangan ikut kadar harga ditetap PN

Â