Mat Sabu masih terkejut, sifatkan sahabatnya pemimpin gigih berjuang bebaskan Palestin

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu sebentar tadi menzahirkan rasa terperanjat dan sedih dengan berita pemergian sahabatnya yang juga pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.

Beliau berkongsi rasa itu menerusi satu hantaran yang ditulis di Facebook rasmi beliau.

Mohamad menyifatkan Haniyeh bukan hanya seorang sahabat yang dekat, malah seorang pemimpin yang gigih berjuang untuk kesejahteraan dan kebebasan rakyat Palestin yang berada di bawah tekanan dan kezaliman berterusan oleh Israel.

”Almarhum telah mengabdikan hidupnya untuk memperjuangkan hak asasi dan keadilan bagi rakyatnya, sering kali menghadapi cabaran yang luar biasa dengan keberanian dan keteguhan hati.

”Kesyahidannya meninggalkan kekosongan besar, tetapi semangat perjuangannya akan terus membara dalam setiap daripada kita yang mendambakan keadilan dan perdamaian.

”Kami semua akan mengingati bakti beliau dengan semangat yang tak pernah luntur dan terus menerus mengecam tindakan tidak adil yang dilakukan oleh Israel,” ujar Mohamad.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berharap agar roh Almarhum dicucuri rahmat.

”Semoga keluarga dan para pejuang Palestin terus diberi kekuatan untuk melalui masa duka ini. Al-Fatihah,” katanya lagi.

Menurut laporan media, kumpulan pejuang Palestin Hamas memaklumkan bahawa Haniyeh terbunuh di Tehran, Iran.

Katanya, kumpulan pejuang Islam itu berkabung atas kematian Haniyeh, yang dikatakan terbunuh dalam ‘serangan khianat Zionis ke atas kediamannya di Tehran’.

“Saudara, pemimpin, mujahid Ismail Haniyeh, ketua pergerakan kitasyahid dalam serangan Zionis di ibu pejabatnya di Tehran selepas beliau menyertai pelantikan presiden baharu (Iran),” katanya.

Haniyeh berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, semalam.

BACA JUGA 6,817 masjid di bawah Jakim laksana solat jenazah ghaib buat Ismail Haniyeh

Â