PM Anwar kecam sekeras-kerasnya pembunuhan tragik Ismail Haniyeh

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran, hari ini.

Beliau yang menghubungi pegawai politik Hamas, Dr Basem Naim sebentar tadi sempat menyampaikan ucapan takziah dan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin.

Dalam satu kenyataan, Anwar berkata pembunuhan ini ternyata sangat tragik dan kejam yang jelas bertujuan untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung bagi mengakhiri kekejaman rejim Zionis Israel di Gaza yang telah meragut lebih 40,000 nyawa. 

“Pembunuhan besar-besaran ini hanya boleh berlaku dimungkinkan dengan tanggapan bahawa tidak ada sesiapa yang akan dipertanggungjawabkan dan dihukum. 

“Hanya mereka yang tiada sifat kemanusiaan sahaja yang tidak menyedari keperluan untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim biadab Zionis Israel bagi menghentikan pembantaian,” katanya.

Perdana Menteri berkata, rakyat Palestin telah dihadapkan dengan malapetaka dan penderitaan selama berdekad lamanya, dan beliau amat bimbang tentang nasib mereka susulan pembunuhan Ismail Haniyeh.

“Mereka yang telah mengkritik saya saat ketemu saudara Ismail sebelum ini telah gagal menghargai keinginan mendalam Almarhum untuk sebuah Timur Tengah yang aman dan pembentukan sebuah negara Palestin yang tertegak dengan maruah dan kebebasan. 

“Saya berduka atas kehilangan seorang sahabat yang akrab dan tokoh pejuang sejati rakyat Palestin,” ucapnya.

Sementara itu, Mesyuarat Jemaah Menteri turut mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan Ismail Haniyeh.

Menurut Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil, Jemaah Menteri turut menggesa siasatan segera dilakukan agar pihak yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan tersebut dibawa ke muka pengadilan.

“Jemaah Menteri turut menzahirkan solidariti bersama dengan rakyat Palestin dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mantan Perdana Menteri Palestin itu.

“Kerajaan Malaysia akan terus lantang menyuarakan sokongan serta bekerjasama dengan negara-negara lain dalam usaha mendesak pembebasan rakyat Palestin daripada sebarang bentuk kezaliman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Â