Ahmad Zahid imbau kenangan dengan Ismail Haniyeh

“Setiap kali beliau hadir ke sini, mesti kami berjumpa dan berkongsi kisah suka-duka perjuangan membebaskan Palestin.”

Itu antara kenangan yang diluahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas pemergian sahabatnya, Ismail Hamiyeh yang juga Ketua Hamas.

Mengimbau detik-detik ketika Haniyeh masih hidup, Ahmad Zahid menyifatkan sosok tubuh tersebut banyak memberikannya nasihat dan semangat untuk terus membantu dan menyumbang di saat kalah atau menang.

“Tiada kata yang dapat menggambarkan kesedihan hati saya hari ini apabila menerima perkhabaran perginya seorang sahabat, pemimpin dan pejuang Ismail Haniyeh, Ketua Hamas dan pengawal peribadinya yang gugur syahid dalam serangan di Tehran, Iran,” katanya menerusi satu catatan di Facebook rasminya, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menyifatkan pemergian Haniyeh merupakan kehilangan besar buat dunia Islam.

Namun katanya, semangat beliau berjuang tidak akan pudar dan kehilangan ini pastinya membangkitkan gelora perjuangan generasi penerus agar keadilan dan kebebasan dapat dicapai oleh rakyat Palestin.

“Semoga Allah menempatkan mereka dalam kalangan para syuhada yang beroleh jannah-Nya tanpa hisab.

“Berehatlah sahabat. Hilangkanlah lelah dan penat. Kehilanganmu pasti menjadi pembakar semangat.

“Gugurmu melahirkan jutaan mujahid umat. Sehingga tercapai matlamat. Palestin bebas, merdeka dan berdaulat. Allahuakbar!,” kata Ahmad Zahid.

BACA JUGA PM Anwar kecam sekeras-kerasnya pembunuhan tragik Ismail Haniyeh

Â