Pelancongan perubatan: MB Selangor yakin pelancong Indonesia terima layanan terbaik
Kerajaan Selangor yakin pelancong Indonesia akan menerima layanan dan kemudahan terbaik daripada segi pelancongan perubatan apabila berkunjung ke negeri berkenaan.
Perkara tersebut disuarakan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang memaklumkan 354 penerbangan mingguan dari pelbagai destinasi di Indonesia ke Selangor dan aksesibiliti di negeri itu adalah sangat mudah untuk pelancong mendapatkan rawatan perubatan sambil menikmati percutian di Selangor.
”Pelancongan perubatan di Selangor telah menyaksikan pertumbuhan yang memberangsangkan, dengan kemasukan 64.49 juta pesakit dari negara luar dan 87.98 juta pelancong kesihatan.
”Pada tahun lalu, negeri Selangor telah mencatatkan kemasukan pelancong dari Indonesia tertinggi, dengan 168,116 pelawat dan sebanyak 103,448 pada tahun 2022, menandakan peningkatan sebanyak 62.5 peratus,” katanya di Facebook.
Terdahulu, Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri merasmikan MHExpo Selangor Week 2024 di Surabaya.
MHExpo itu dijalankan dengan kerjasama Malaysia Healthcare Travel Council dan Tourism Selangor dengan mengetengahkan pelancongan perubatan di Selangor dengan slogan “Liburan Sehat, Ya di Selangor Aja!”.
Sebanyak 10 buah hospital menyertai pameran tersebut iaitu Avisena Specialist Hospital, KPJ Healthcare Berhad, Sunway Medical Centre, Kajang Putra Medical Centre, MSU Medical Centre, TopVision, Subang Jaya Medical Centre, Golden Horses Health Sanctuary, Alpha IVF dan AK Aeromedical Service.
BACA JUGA Himpunan Solidariti Palestin, AMANAH arah ahli seluruh negara turut serta