Permohonan MyBrain 2.0 dibuka untuk pengajian sarjana, PhD
Program penajaan MyBrain 2.0 yang diperkenalkan semula kerajaan boleh dimohon bermula hari ini sehingga 21 Ogos depan.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
KPT berkata, program yang merupakan kesinambungan daripada MyBrain15, itu dilaksana bagi memberi akses pendidikan lebih luas kepada semua rakyat Malaysia berkelayakan melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran.
Menurut KPT, bagi fasa pertama program MyBrain 2.0 menyasarkan penerima dalam kalangan orang awam tidak bekerja atau tidak berpendapatan tetap serta pensyarah institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) bagi melanjutkan pengajian mereka di 20 Universiti Awam (UA).
”Selaras dengan aspirasi kerajaan dalam memperkasakan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), pelaksanaan MyBrain 2.0 akan memberi keutamaan kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut selain bidang sains sosial dan sastera ikhtisas.
”Penajaan program MyBrain 2.0 merangkumi pembiayaan yuran pengajian dan elaun sara hidup. Kemudahan pembiayaan yang ditawarkan di bawah program ini merupakan satu daripada inisiatif pihak kerajaan meringankan beban kewangan
pelajar di samping melahirkan graduan yang mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi.” katanya.
Permohonan untuk penajaan ini akan dibuka pada 1 Ogos 2024 (Khamis) jam 3 petang sehingga 21 Ogos 2024 (Rabu) jam 11.59 malam secara atas talian melalui Sistem Permohonan MyBrain 2.0 di pautan: https://biasiswa.mohe.gov.my/MyBrain2.
Program MyBrain 2.0 merupakan satu platform penting dalam menyokong pembangunan modal insan negara yang mempunyai daya intelek yang tinggi serta berupaya memacu kemajuan dari segi pemikiran, kerohanian dan material untuk merealisasikan gagasan Malaysia Madani.
BACA JUGA Cara buat kerja macam dah jadi wakil rakyat, siapakah dia?
Â