Bahana Olimpik Paris iktiraf ‘wanita jadian’ terbukti, petinju Itali ini bimbang nyawa diancam

Olimpik di Paris menyaksikan bahana tindakan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membenarkan ‘wanita jadian’ masuk ke gelanggang bertinju dengan wanita tulen.

Seorang petinju wanita Itali, Angela Carini terpaksa menjerit ‘ini tidak adil’ sambil melemparkan topi ke lantai selepas dua kali ditumbuk lawan dari Algeria, Imane Khelif.

Dua kali tumbukan yang terlalu kuat itu dilapor jarang berlaku dalam sukan tinju Olimpik.

Pertembungan itu hanya berlangsung 46 saat selepas Carini mendedahkan dia terpaksa menamatkan saingan demi ‘menyelamatkan nyawanya’.

Kata Carini, dipetik Agensi, hidungnya terasa amat sakit akibat tumbukan lelaki yang diiktiraf wanita oleh IOC itu.

“Saya tidak boleh teruskan. Hidung saya amat sakit dan saya berkata, ‘Cukup’. Adalah lebih baik untuk mengelak daripada meneruskannya. Hidung saya berdarah selepas tumbukan pertama.

“Ia boleh menjadi pertarungan terhebat saya tetapi dalam situasi itu, saya juga perlu menyelamatkan nyawa saya.

“Saya perlu melakukannya, saya tidak rasa takut, saya tidak pernah takut di gelanggang atau ditumbuk,” katanya lagi.

Carini berdepan dengan ‘wanita jadian’ itu dalam kategori welterweight semalam.

Angela Carini (berbaju biru) menangis sambil diperhatikan Imane Khelif yang secara biologinya lelaki.

Sebelum ini, IOC membenarkan Imane Khelif untuk beraksi di Paris 2024 yang sudah pun gagal memenuhi kriteria kelayakan jantina Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) di Kejohanan Dunia Wanita di New Delhi tahun lalu.

Malah, IOC turut membenarkan petinju Taiwan, Lin Yu-ting untuk beraksi dalam kategori wanita di Olimpik Paris 2024.

Hari ini, Yu-ting dijadualkan bertemu pemenang antara Marcelat Sakobi dan Sitora Turdibekova dalam kategori featherweight.

Berkongsikan luahan hatinya, Carini berkata, beliau kerap berlawan dengan lelaki tetapi pertembungan kali ini beliau merasakan sangat sakit.

“Saya selalu bertarung bersama pasukan kebangsaan. Saya bertarung dengan abang saya. Saya sentiasa berlawan dengan lelaki, tapi saya rasakan hari ini ia sangat sakit,” ujarnya.

Selepas perlawanan dihentikan, pengadil mengangkat tangan Khelif namun Carini yang berang menarik tangannya dan menjauhi lawannya itu sebelum keluar gelanggang.

“Saya sudah biasa menderita. Saya tidak pernah menerima tumbukan seperti itu, mustahil untuk meneruskannya.

“Siapalah saya untuk berkata ia adalah sesuatu yang patut diharamkan,” katanya bercakap selepas pertarungan.

Tambahnya lagi, beliau tidak menarik diri daripada pertarungan sebagai protes terhadap lawannya itu tetapi keputusan itu perlu difikirkan oleh Olimpik sendiri.

BACA JUGA MP Lenggong ketuai delegasi ke pengebumian Ismail Haniyeh

Â