Selepas hampir 3 bulan kes disimbah asid, Faisal kembali tampil beraksi
Faisal Halim akhirnya tampil dalam skuad Selangor FC buat kali pertama musim ini selepas hampir tiga bulan menjadi mangsa simbahan asid.
Beliau diletakkan dalam senarai pemain simpanan Selangor pada aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.
Menerusi perkongsian Fina Nasrom di X, pemain berkenaan dilihat melakukan sujud syukur sebelum memulakan sesi warm up.
Sebelum ini, Selangor mencetuskan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air selepas memuat naik video yang dipercayai Faisal menjalani latihan bersama skuad Gergasi Merah.
Walaupun sedutan video yang dimuat naik di Facebook rasmi kelab itu kabur, tetapi peminat dapat meneka ia adalah Faisal.
Rakaman video itu memaparkan seorang pemain Selangor berlari dan meledak jaringan ketika sesi latihan Gergasi Merah dengan tertera kapsyen “siapa kembali”.
Awal Mei lalu, Faisal, 26, terpaksa menjalani proses pemulihan disebabkan luka melecur tahap empat yang dialaminya selepas menjadi mangsa simbahan asid.
Setakat 9 Mei lalu, hanya dua individu ditahan polis bagi kes membabitkan tonggak pasukan bola sepak kebangsaan itu.
Bagaimanapun, suspek pertama yang ditahan itu tiada kaitan dengan kes tersebut dan dibebaskan selepas polis mendapati pelaku sebenar yang menaiki motosikal semasa kejadian menggunakan nombor pendaftaran palsu.
BACA JUGA Adakah Meta akan ganggu ‘live’ Himpunan Pembebasan Palestin esok?