Himpunan Pembebasan Palestin petang ini, jom ramai-ramai pakai putih
Himpunan Pembebasan Palestin yang akan diadakan petang inidi Axiata Arena bakal menjadi ruang untuk seluruh rakyat Malaysia berhimpun sekali lagi menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin.
Pada 24 Oktober tahun lepas, Himpunan Malaysia Bersama Palestin pernah diadakan di loksi sama yang menghimpunkan pemimpin politik Kerajaan Perpaduan dan pembangkang bagi menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin.
Tanpa mengira latar belakang, agama dan bangsa, himpunan berkenaan berjaya menyaksikan penyertaan lebih 15,000 rakyat Malaysia, yang turut sama menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi.
Kali ini bermula pada 6 petang, himpunan ini akan menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh, sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis yang tidak berkesudahan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan pidato pada acara kemuncak himpunan itu, untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin bersama beberapa pemimpin lain.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu yang dipertanggungjawabkan mengetuai himpunan itu, turut menyeru orang ramai menyatakan sokongan bersama rakyat Palestin demi melindungi orang-orang tertindas serta terbunuhnya Haniyeh.
Difahamkan kira-kira 40 wakil diplomatik akan turut hadir pada himpunan berkenaan.
Himpunan petang ini akan dimulai dengan Pidato Solidariti Palestin, disusuli solat Maghrib berjemaah, sesi tayangan video khas dan diakhiri dengan Doa Qunut Nazilah.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan turut menyeru semua pihak termasuk ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara tanpa mengira fahaman politik, untuk hadir ke perhimpunan itu.
Haniyeh dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di utara Tehran pada kira-kira 2 pagi waktu Iran, pada 31 Julai.
Beliau berada di ibu negara Iran itu untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran yang baharu, Masoud Pezeshkian.
BACA JUGA Tak habis-habis menipu, ‘kantoi’ dia letak carta pai tiada kaitan dengan tuduhan
Â