Dah terlambat nak minta maaf, menusuk kata-kata bapa Allahyarham Zulfarhan

Keluarga Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain tidak akan menerima permohonan maaf dari mana-mana keluarga tertuduh, mahupun berjumpa dengan mereka.

Bapa kepada Allahyarham, Zulkarnain Idros, 60, berkata, sepatutnya mereka boleh meminta maaf sejak 2018 lagi ketika kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi, namun segalanya sudah terlambat.

Lapor Harian Metro, Zulkarnain berkata, ketika berselisih di mahkamah pun keluarga tertuduh tidak pernah menegur mereka seolah-olah Allahyarham pula yang didakwa membunuh.

“Walaupun saya tidak menafikan bahawa ada seorang bapa tertuduh yang berjumpa dengan saya meminta maaf, saya katakan mereka membuat salah dengan anak saya, bukan dengan saya.

“Jika saya terima permohonan maaf itu pun, anak saya sudah tiada, kalau mereka (keluarga) nak (hendak) memohon maaf, kenapa tunggu sekarang, kita banyak kali jumpa di mahkamah.

“Waktu awal perbicaraan dulu, kita berselisih bahu pun tidak bertegur seolah-olahnya macam anak saya pula yang bunuh anak dia (keluarga tertuduh),” katanya menurut Harian Metro hari ini.

Kata Zulkarnain, dia sekeluarga reda dengan suratan takdir namun tidak menerima perlakuan oleh tertuduh terhadap arwah sehingga sanggup menekap dengan seterika wap sebanyak 90 kali.

Baginya perlakuan itu amat kejam malah mungkin binatang pun tidak melakukan perbuatan sedemikian.

“Tidak mengapalah, saya tidak mahu berjumpa dengan keluarga tertuduh, cukuplali ” katanya ringkas.

BACA JUGA Ajak orang boikot Himpunan Pembebasan Palestin, setepek Wan Fayhsal dibidas

Â