Saya dan sambal gaul

Semasa saya kecil, saya tinggal dengan nenek. Saya tak tahu bagaimana saya boleh tinggal dengan nenek sedangkan dik-adik saya semuanya tinggal dengan mak dan ayah saya.

Oleh kerana tidak ada orang lain, sayalah yang selalu temankan nenek memasak di dapur. Masakan yang selalu nenek buat adalah sambal gaul.

Nenek akan masak banyak-banyak sambal ini. Lama nenek masak. Kadang-kadang hingga dua atau tiga jam dalam kuali. Saya masih ingat kalau nenek mahu sembahyang, nenek akan minta saya kacau sambal ini dalam kuali.

“Kita kena masak lama sambal ni supaya ia tahan lama,” kata nenek kepada saya. Maklumlah ketika itu mana ada peti sejuk yang boleh simpan sambal ini.

Atok saya pula ketika itu kerja di Singapura. Biasanya, atok akan balik dua kali atau satu kali seminggu saja. Biasanya, sebelum atok pergi, nenek akan bekalkan sambal gaul ini untuk atok.

Di Singapura. atok akan masak ikan, udang atau telor dengan sambal gaul ini. Atok tinggal masakkan ikan dan campur saja dengan sambal gaul ini.

Apabila kawan-kawan bercadang mahu berniaga bahan makanan, saya cadangkan buat ambal gaul resipi nenek ini. Maka lahirlah Sambal Gaul Ketagih Cik Wani ini.

Ia mengambil sempena nama saya kerana saya yang berikan resipi nenek saya ini.

Sambal gaul ini sebenarnya sangat memudahkan kita ketika kita hidup di zaman moden yang penuh pancaroba ini. Masa untuk memasak pula kurang.

Pagi-pagi kita sudah sibuk siapkan anak-anak untuk dihantar ke sekolah. Jam 8 pagi kita sudah perlu sampai ke pejabat. Balik pula lewat petang.

Terkejar-kejar ambil anak sekolah di rumah transit dan semuanya lapar nak makan.

Dengan sambal gaul ini, ia memudahkan kita memasak. Kita perlu siapkan lauk yang hendak kita makan sahaja. Boleh guna udang, sotong, ikan, ayam atau daging. Paling mudah dengan telor sahaja.

Yang paling mudah dan anak-anak saya paling suka adalah sambal gaul dengan telor mata. Goreng je telor dalam kuali. Dah masak, masuk je sambal gaul, terus siap dan boleh di makan.

Kalau makan dengan nasi panas-panas, wah sangat sedap dan menyelerakan. Suami saya pula suka makan dengan ikan. Kadang-kadang dia masak je ikan, dan campur saja dengan sambal gaul ini. Sangat mudah.

Terima kasih nenek yang telah mewariskan saya dengan sambal gaul ini.

Â