SPR bincang tarikh mengundi DUN Mahkota 13 Ogos ini

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan satu Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 13 Ogos depan bagi membincangkan berkenaan kekosongan kerusi DUN N.29 Mahkota, Johor.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah pun menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Mohd Puad Zarkashi mengenai kekosongan luar jangka kerusi DUN Mahkota.

Ia berikutan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos baru-baru ini.

“Berdasarkan Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895, Bahagian Kedua, Fasal (5) Perkara 23, kekosongan luar jangka tersebut hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari SPR menerima pemakluman telah berlakunya kekosongan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Terdahulu, Allahyarham Sharifah Azizah dimasukkan ke hospital akibat pendarahan dalaman sebelum disahkan meninggal dunia.

Sharifah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merupakan bekas Ketua Wanita UMNO Johor, dan memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022. Sebelum itu, Sharifah Azizah adalah ADUN Penawar dari 2018 hingga 2022.

Beliau adalah anak kepada Allahyarham Datuk Syed Zain Idrus Shahab Al-Haj yang merupakan bekas Speaker DUN Johor paling lama berkhidmat, iaitu dari 1978 hingga 1990.

BACA JUGA Tunggu Allah turunkan hujan untuk penuhkan balik empangan, kata Sanusi

Â