Ribuan peserta beri tepukan gemuruh saat Mat Sabu merayu di hadapan PMX

Klip video ucapan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu beredar di media sosial sejak pagi ini.

Dalam pidatonya pada Himpunan Pembebasan Palestin semalam, beliau membuat rayuan secara bersemuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Perdana Menteri merapatkan hubungan dengan negara-negara Islam yang iktiraf Israel, dan mengajak mereka untuk memutuskan hubungan dengan negara haram tersebut.

Rayuannya itu disambut dengan tepukan gemuruh ribuan hadirin tanda sokongan.

“Wahai Perdana Menteri yang ku kasihi. Namamu begitu harum di seluruh dunia, kamu berupaya membuat satu tatacara baharu di dunia.

“Rapatlah dengan negara-negara Islam yang iktiraf Israel tapi ajak mereka putus hubungan dengan Israel,” katanya.

Menurut Mohamad, Anwar mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian apabila berjaya memulihkan ekonomi Malaysia tidak sampai dua tahun.

“Bantulah negara-negara yang bermusuh dengan Israel. Sebarang tindakan dari Israel jangan bimbang kerana Malaysia menerima sokongan dari rakyat Eropah,” katanya lagi.

Himpunan semalam adalah untuk menghantar mesej bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dan kekejaman berterusan rejim zionis.

BACA JUGA Kerajaan ini sahaja berani buat himpunan kutuk Israel secara terbuka – Dr Maza