Meta diingat jangan ‘pilih kasih’
Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima permohonan maaf Meta yang menurunkan kandungan akaun Facebook dan Instagram beliau berkait pembunuhan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh, minggu lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan berharap kejadian itu tidak berulang dan menegaskan Meta jangan ‘pilih kasih’.
“Perdana Menteri memaklumkan bahawa sahabat beliau termasuk berada di Timur Tengah membaca berita tersebut bermaksud ia telah sampai ke seantero dunia.
“Jadi, Perdana Menteri terima permohonan maaf itu dan pada masa sama, kita harap kejadian seperti itu tidak berulang,” kata Jurucakap Kerajaan itu dalam sidang media di Putrajaya.
Semalam, kerajaan menuntut permohonan maaf daripada syarikat induk Facebook dan Instagram, Meta kerana menurunkan beberapa hantaran media sosial Anwar berkait Allahyarham Ismail Haniyeh.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, tuntutan itu dibuat ketika Fahmi dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Salim Fateh Din bertemu wakil Meta, semalam.
Susulan permohonan maaf itu, kandungan tersebut dikembalikan dengan ‘label berita sebenar yang bersesuaian’, kata jurucakap Meta dipetik Reuters.
Sementara itu, Fahmi berkata beliau meminta Meta memberikan garis panduan terkini dari semasa ke semasa kerana dimaklumkan ia akan berubah-ubah khususnya mengenai isu geopolitik.
“Contohnya, perkataan syahid juga tidak dibenarkan Meta tetapi kami dimaklumkan akibat usaha dipelopori pasukan semalam juga, perkataan syahid tak jadi isu. Satu ketika dulu jadi isu,” jelasnya lagi.
BACA JUGA Keganasan di UK: Banyak negara keluar amaran keselamatan