Bersatu guna orang Pas kerana bimbang tidak ada kekuatan hadapi calon BN

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad mempunyai pendapatnya tersendiri berkaitan pengumuman Perikatan Nasional (PN) bahawa Mohd Rizwadi Ismail diletakkan sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri kali ini.

Mohd Rizwadi merupakan bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang dan telah melafazkan ikrar serta sumpah laknat selepas dirinya diberi tanggungjawab mewakili gabungan berkenaan pada 29 Julai lalu.

Pada PRK kali ini, beliau akan bertanding sebagai ahli Bersatu dan bakal berentap dengan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani untuk merebut kerusi DUN berkenaan 17 Ogos ini.

Berikutan itu, Khalid berpandangan, Bersatu bimbang mereka tidak mempunyai kekuatan untuk bertembung dengan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi jika meletakkan calon Bersatu dan menggunakan lambang parti itu.

”Ini menunjukkan bahawa mereka risau. Kalau dia nak letakkan calon Bersatu, guna lambang Bersatu, dia khuatir dia kalah.

”Mereka khuatir Bersatu tidak mempunyai kekuatan untuk menghadapi calon BN, maka digunakan orang Pas yang masuk Bersatu tapi nak bertanding, bertanding dengan lambang Pas,” kecam beliau dalam rancangan bual bicara di Jom Channel malam tadi yang bertajuk Nenggiri – Kempen Semakin Rancak?

Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Shah Alam menyifatkan kempen di DUN berkenaan tidak lemah, malah ia semakin rancak dijalankan.

Untuk rekod, DUN Nenggiri merupakan kerusi milik Bersatu selepas parti itu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

Pada PRN lalu, Mohd Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab Aziz Yusof.

Terdahulu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 13 Jun lalu mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan selepas pengguguran keahlian Mohd Azizi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.

BACA JUGA Poster ucapan hari Merdeka teruk dikritik, papar KLCC kembar tiga

Â