Kejutan M Nasir di konsert, hadiah pulut kuning buat PM

Sifu muzik Datuk M Nasir membuat kejutan dengan meraikan ulang tahun kelahiran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ke-77 pada Konsert Datuk M N45IR Cipta di Axiata Arena di ibu negara, malam tadi.

Kejutan bermula apabila M Nasir, 66, memberitahu beliau mahu mendendangkan lagu ciptaan Allahyarham Tan Sri Ramlee.

Sejurus bait pertama lagu sambutan harı jadi berbunyi ‘Allah Selamatkan Kamu’ diperdengarkan, penonton teruja menumpukan perhatian kepada tetamu VIP di tingkat atas Axiata Arena.

Pada ketika itulah, lebih 8,000 penonton menyedari kehadiran Perdana Menteri yang mengenakan persalinan persis pahlawan Melayu lengkap di konsert tersebut.

Hadir bersama isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, beliau turut mengangkat tangan sebagai tanda ucapan terima kasih kepada M. Nasir.

Detik menyentuh perasaan itu menyaksikan M. Nasir menyanyikan lagu Selamat Hari Lahir buat Perdana Menteri yang menyambut usia 77 tahun, semalam.

Teraju Kerajaan Perpaduan itu turut dihadiahkan hidangan pulut kuning daripada pihak produksi Konsert Dato’ M.N45ir Cipta yang ditunjangi Icon Entertainment tersebut.

“Sebelum saya menyanyikan lagu yang ditujukan khas kepada seseorang ini, saya ingin menyanyikan lagu ini terlebih dahulu.

“Saya juga tak hadiahkan kek, tetapi pulut kuning,” katanya di konsert sempena 45 tahun penglibatan M. Nasir dalam dunia seni.

Penyanyi kelahiran Singapura itu meneruskan persembahan dengan menyanyikan lagu yang ditujukan khas kepada Perdana Menteri berjudul Phoenix Bangkit.

Pada masa sama, layar gergasi di pentas turut menayangkan visual Anwar bertemu dengan Pemimpin Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh yang terbunuh di Tehran, Iran, baru-baru ini.

Menerusi konsert berdurasi lebih dua jam itu, M. Nasir mendendangkan hampir 30 buah lagu malar segar.

Ia termasuk karya emas ciptaan beliau yang dirakamkan penyanyi lain termasuk daripada Alleycat, Search, Rahim Maarof, Kristal dan ramai lagi.

Sepanjang 45 tahun ‘berenang’ dalam dunia seni tanahair, M. Nasir juga membintangi sejumlah filem bermula dengan Kembara Seniman Jalanan (1986).

Komposer tersohor itu turut menggegarkan Pejabat Perdana Menteri pada 1996 apabila mengucapkan “Siapa Mahathir?” yang mengakibatkannya digam daripada radio dan televisyen.

Tindakan kerajaan ketika itu sering dirujuk sebagai peristiwa yang menggambarkan rendahnya tahap kebebasan bersuara artis pada era pentadbiran Mahathir.

Beliau yang tidak dapat hadir latihan sempena Malam Puisi Utusan yang menampilkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tetamu kehormat dianggap kurang ajar terhadap Perdana Menteri.

Walhal, M. Nasir yang baru mendapat berita kematian ayah mertuanya perlu bergegas pulang ke Singapura.

Beliau menjelaskan bahawa menghadiri pengebumian ayah mertuanya lebih penting kepadanya berbanding acara itu selepas diasak wartawan yang menanyakan alasan beliau tidak hadir.

BACA JUGA Steven Sim dapat surat terima kasih daripada Palestin