Dilema uruskan KLFA – Bahagian 1
Oleh KHALID SAMAD
Muqaddimah
Melihat kepada pergolakan dalam pemilihan KLFA baru-baru ini mendorong saya menulis berkenaan KLFA dan cabaran dihadapi Presiden dan barisan Exconya.
Cabaran utama sesiapa yang menjadi Presiden KLFA adalah cabaran kewangan. Pasukan Bola Sepak di bawah jagaannya adalah pasukan bola-sepak profesional KL City FC, sepertimana juga pasukan Bawah 24, Bawah 20, Bawah 18 dan pasukan Liga A1 ia itu KL Rovers. Sambil itu KLFA perlu juga menjaga urusan Kelab gabungan serta Liga Kuala Lumpur.
Perbelanjaan sebulan mencecah RM 1.4 juta sedangkan KLFA tiada sumber pendapatan selain sumbangan atau sponsorship.
Cabaran kedua adalah kata sepakat antara Ahli JK Exco KLFA dengan adanya wawasan dan cita-cita yang dikongsi bersama.
Setiap anggota exco seharusnya bekerja keras menyumbang kepada keperluan KLFA dengan mencari sponsor sambil menguruskan pasukan di bawah jagaannya dan memainkan peranan yang ditetapkan KLFA untuknya.
Sekiranya kedua-dua aspek ini dapat diurus dengan baik maka KLFA dan pasukan² di bawah jagaannya, serta Kelab2 Gabungan dan Liga KL itu sendiri akan dapat berprestasi dengan cemerlang.
SAGA KLFA 2020 – 2022.
Pada November 2019 saya dipilih sebagai Presiden KLFA ketika saya Menteri Wilayah Persekutuan.
Saya telah menetapkan bajet sebanyak RM 10 Juta setahun untuk KLFA yang akan disumbangkan oleh DBKL sebagai sponsor utama KLFA.
Sebagai balasan nama DBKL akan terpampar megah di jersei KL City FC dan dipamerkan di papan-papan iklan Stadium Cheras.
Malangnya kerajaan PH jatuh pada Febuari 2020 dan KLFA hanya sempat menerima RM 5 Juta dari bajet yang telah diluluskan sebelum itu. Menteri WP baharu, TS Anuar Musa, tidak luluskan bayaran RM 5 Juta kedua yang dijadualkan pada pertengahan 2020. Maka KLFA terpaksa cari wang dari sumber lain.
Pada 2021 dan 2022 keadaannya begitu juga walaupun bertukar Menteri WP dengan datangnya Shahidan Kassim. KLFA terus ditekan dengan sumbangan yang kurang dari separuh dari apa yang diperlukan.
Saya turut diasak untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden termasuk oleh beberapa Exco KLFA yang rapat dengan Menteri WP pada masa itu.
Mereka bukan mendesak supaya Menteri WP menambahkan bajet kepada seperti yang diperlukan tetapi sebaliknya menggunakan kekangan kewangan sebagai alasan mendesak saya letak jawatan.
Ada Exco yang membuat laporan SPRM terhadap KLFA pada 2021. Kononnya ada penyelewengan wang sedangkan wang tidak ada, nak seleweng macam mana?
Mungkin mereka marah kerana tidak merasa duit RM 5 Juta itu. Sebelum ini KLFA tak pernah dapat sponsorship DBKL sebanyak RM 5 Juta.
Sponsorship dicapai melalui pemberian tanah yang dijual atau dimajukan bersama pemaju pilihan. Maka KLFA sangat mewah. Bajet KLFA untuk tahun 2019 melebihi RM 15 Juta.
Namun demikian, walaupun terpaksa menghadapi cabaran cabaran ini, prestasi KL City FC yang di bawah jagaan KLFA sangat memberangsangkan. Pada 2020 KL City naik ke Liga Super. Pada 2021 KL City menjadi Juara Piala Malaysia. Pada 2022 KL City menjadi Naib Juara Piala AFC. Dalam keadaan setiap bulan kekeringan, terpaksa merayu untuk sumbangan dan sponsorship dan sambil menangani politiking dalaman.
Kalau wang mencukupi, tidak dikhianati, pasti prestasi lebih cemerlang.
KLFA pada 2023 – sekarang.
Naiknya kerajaan PH pada hujung 2022 menjanjikan harapan baharu bagi saya. Untuk tahun 2023 saya berjaya mendapat RM 8 Juta untuk KLFA. Terima kasih PMX. Pada tahun itu juga KL City maju ke final FA Cup tetapi kalah 2 – 0 melawan JDT di Stadium Johor.
Namun pada hujung 2023 suasana berubah. Tanpa adanya PMX memantau, DBKL mula menyekat sumbangan kewangannya kepada KLFA. Saya diminta letak jawatan sebagai Presiden sebelum wang DBKL akan disalurkan.
Exco-exco yang berpolitiking sejak 2020 turut mendesak saya letak jawatan. Oleh kerana keadaan sangat mendesak, sehingga kemungkinan KL City hilang lesen Liga Supernya, saya letak jawatan. Duit mula masuk. Tetapi masih disekat-sekat.
Hingga September 2024 KLFA hanya menerima RM 4 juta berbanding RM 8 Juta untuk 2023. Ramai bising mendesak untuk KLFA membayar gaji pemain dan kakitangan. Tetapi dengan duit apa?
Walaupun saya bukan lagi Presiden KLFA, saya sangat mengambil berat keadaan semua pemain dan kakitangan dan hingga kini sedang menanggung hutang ratusan ribu untuk menjamin kesinambungan pasukan pasukan di bawah jagaan KLFA.
Memetik kata-kata Bojan Hordak sebelum dia meninggalkan KL City, “3 final dalam 3 tahun, tetapi adakah sesiapa kisah?”. Ya, ramai ‘ambil kisah’, tetapi tiada yang membantu, bersikap tiada obligasi dan hanya menjadi sebagai penonton kepada saga KLFA.
Walaupun begitu, pasukan bola sepak WP, yang terdiri dari pemain2 di bawah jagaan KLFA, muncul juara SUKMA 2024. Jurulatih pasukan SUKMA, yang juga dari KLFA, sehingga menitis air mata mengadu kekurangan kewangan.
Dan pada masa yang sama KL City kalahkan Kaya FC juara Liga Filipina, 1 – 0 dalam pertandingan kejuaraan Cup Shoppee di peringkat ASEAN.
Mencari rakan kongsi KL City
Bagi yang ingin memimpin KLFA bagi sesi akan datang, tentukan team JK Exco yang dipilih bersatu hati dan bekerja keras mencari sponsor dan penyumbang. Dapatkan RM 8 Juta dari DBKL sepertimana pada 2023 dan RM 6 Juta lagi dari sumber yang lain.
Antara sumber ini, selain sponsor korporat, adalah rakan kongsi bagi KL City yang mesti dikenalpasti seperti mengikut kehendak FIFA.
Malangnya, usaha mencari rakan kongsi sejak 2020 telah menemui kegagalan. Namun ia wajib diusahakan.
Usaha ini diteruskan sehingga sekarang tetapi ada juga yang khianat dan sabotaj dengan mengatakan “kelab ini bukan untuk dijual”. Ini telah menyebabkan rundingan terhenti dan yang berminat untuk menjadi rakan kongsi dalam KL City menunda keputusan mereka.
Mereka mahu melihat siapa yang akan dipilih untuk memimpin KLFA dan dengan sendirinya KL City juga.
Sikap DBKL terhadap KLFA dan KL City juga diambil berat mereka. Kalau DBKL bersikap “tiada obligasi”, sudah pasti mereka akan menjauhkan diri. Tetapi kalau adanya komitmen untuk terus mengusahakan satu kelab bola sepak profesional bersama, peluang mereka menjadi rakan kongsi adalah lebih cerah.
Rumusan kepada Saga KLFA – Bahagian 1.
Sebenarnya cabaran yang dihadapi oleh sesiapa sahaja yang ingin menjadi Presiden KLFA, dan barisan Exco Nya, sangat mencabar. Mungkin itulah antara sebabnya Menteri-menteri menawarkan diri. Dengan keputusan cabinet, ini bukan lagi satu pilihan.
Yang perlu dilakukan adalah mendapat sokongan dan komitmen dari DBKL yang secara tradisinya telah menyokong KLFA dan KL City sekian lama.
Arwah TS Elyas Omar akan sentiasa diingati oleh warga KL sebagai Datuk Bandar yang mengasaskan dan membina pasukan Bolasepak Kuala Lumpur. Jasanya terhadap sukan bolasepak KL tidak akan dilupai.
Yang kedua adalah untuk menjamin barisan exco yang komitted dan fokus kepada kejayaan KLFA dan KL City serta team-team lain di bawah jagaan KLFA. Hentikan politicking dan budaya khianat dan tumpu kepada tanggung-jawab masing².
Yang ketiga adalah untuk mencari rakan kongsi, atau rakan-rakan kongsi, untuk KL City, supaya bebanan kewangan ke atas DBKL dan KLFA sendiri dapat dikurangkan secara berfasa.
Dan sambil menguruskan cabaran ini semua, prestasi KL City di padang perlu terus dipertahankan dan dilonjakkan.
Selamat maju jaya kepada barisan pimpinan baharu.
Sampai mati Kuala Lumpur.
Khalid Bin Abd Samad.
Bahagian 2 – DBKL dan KLFA. Tiada obligasi?
BACA JUGA Yakin industri REE beri saingan sihat tapi Rafizi beritahu ada satu masalah…