Banjir di Johor makin buruk, mangsa meningkat kepada 33,149 orang

Keadaan banjir makin buruk apabila jumlah mangsa di Johor terus meningkat kepada 33,149 orang yang dipindahkan ke 217 PPS setakat 8 pagi ini, lapor Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri.

Terdahulu dalam NADMA dalam laporan pukul 6 pagi ini menyatakan Johor mencatatkan mangsa tertinggi seramai 31,865 melibatkan 8,964 keluarga di 10 daerah.

Diikuti Pahang seramai 1,844 mangsa dari 528 keluarga di enam daerah manakala Negeri Sembilan seramai 1,061 orang dari 301 keluarga di dua daerah.

Melaka pula seramai 99 mangsa dari 25 keluarga di dua daerah dan Sarawak terdapat 43 mangsa dari 18 keluarga melibatkan dua daerah.

Keseluruhan mangsa seramai 34,912 orang dari 9,838 keluarga di lima negeri.

Daerah paling terjejas ialah di Segamat melibatkan 11,941 mangsa diikuti Kluang (5,216) dan Batu Pahat (4,011) dan Kota Tinggi (3,413).