Melayu majoriti ditahan di bawah undang-undang keselamatan

Majoriti orang yang ditahan di bawah undang – undang keselamatan pada tahun 2022 terdiri daripada orang Melayu.

Undang-undang keselamatan yang dimaksudkan adalah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA).

Menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangkap 624 orang di bawah Sosma.

“Daripada jumlah tersebut seramai 71 tangkapan telah dituduh di mahkamah, telah dijatuhkan hukuman seramai 401 orang, 140 telah dibebaskan dan 12 orang masih dalam siasatan.

“Pecahan bangsa terdiri daripada 247 orang Melayu, Cina 83, India 89, 47 Lain-lain Kaum dan warganegara asing seramai 158 orang.

“Lingkungan umur terdiri daripada 18 hingga 69 tahun,” kata Saifuddin dalam jawapan bertulis kepada soalan Chow Yu Hui (Raub-PH).

Seramai 132 orang pula telah ditangkap di bawah POCA. Mereka terdiri daripada 67 Melayu, 13 Cina, 38 India, 13 kaum lain dan satu warga asing. Pecahan umur mereka dalam lingkungan 19 hingga 59 tahun.

Untuk kes POTA pula hanya seorang Melayu ditangkap dan dikenakan perintah tahanan.

BACA JUGA: Tiada cadangan memansuhkan SOSMA

Â