Ada keretakan dalam hubungan BN-PH?

Keretakan dalam BN-PH yang kedengaran di Johor hanyalah khabar angin, kata pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh.

Perkara tersebut cuba dimainkan oleh Perikatan Nasional untuk memecahkan kesepakatan yang terjalin dalam kalangan parti Kerajaan Madani.

“Memang ia hanya khabar angin, tak benar sama sekali, kita sentiasa mengadakan mesyuarat bersama-sama antara BN dan Pakatan Harapan (PH).

“Semalam pun ada mesyuarat lagi, yang turun bersama adalah Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (naib presiden Umno) dan pengerusi badan perhubungan Umno Johor yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Datuk Onn Hafiz Ghazi sendiri.

“Perbincangan itu membabitkan PH iaitu daripada DAP, AMANAH dan PKR, jadi tiada isu langsung. Tidak ada keretakan, malah kita bersama-sama dalam kempen ini dan kita juga nak menangkan calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah,” katanya selepas sesi berjumpa pengundi di gerai makan Jalan Penghulu Kassim.

Calon BN Syed Hussien Syed Abdullah akan berentap dengan calon PN Haizan Jaafar dari Bersatu di dalam PRK Mahkota pada 28 Sept.

Â