Sultan Selangor kesal, kecewa tiada tindakan berkesan tangani kes GISBH
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan perasaan kesal serta kecewa kerana kes disyaki berkait Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH), termasuk membabitkan rumah amal kendalian syarikat itu, telah lama berlarutan dan tiada tindakan berkesan diambil untuk menanganinya sebelum ini.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan perasaan dukacita kerana sebaik saja berangkat pulang dari luar negara, baginda dikejutkan dengan berita siasatan polis terhadap kegiatan jenayah disyaki membabitkan GISBH serta rangkaiannya, termasuk dakwaan penderaan, eksploitasi terhadap kanak-kanak, buruh paksa dan salah laku seksual, selain amalan dipercayai bertentangan akidah Islam.
“Semua perbuatan jenayah itu telah mencemarkan nama baik dan kesucian agama Islam,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, hari ini.
Baginda bertitah supaya seluruh agensi agama Islam di negeri ini bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan semua pihak terbabit dengan kesalahan jenayah disyaki berkait GISBH serta rangkaiannya, diheret ke mahkamah dan didakwa.
“Menurut laporan yang Beta terima, kebanyakan rumah amal bawah pengawalan GISBH yang terbabit dalam siasatan, telah lama beroperasi di beberapa negeri, khususnya Selangor tanpa pendaftaran sepertimana keperluan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
“Beta kesal dan kecewa kerana perkara ini telah lama berlanjutan dan tiada tindakan berkesan diambil untuk menanganinya.
“Kita perlu menerima hakikat bahawa kelewatan menangani perkara ini menunjukkan kelemahan dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang oleh agensi-agensi agama terhadap rumah amal dan sekolah agama Islam berkaitan GISBH serta rangkaiannya sehingga menyebabkan ia menjadi begitu serius dan tidak terkawal,” menurut titah baginda.
Dalam masa sama, baginda turut menitahkan semua rumah amal dan sekolah Islam bawah kawalan GISBH serta rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terbabit apa-apa kegiatan jenayah, termasuk jenayah syariah, ditutup segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Selangor.
Memandangkan isu itu serius dan membabitkan umat Islam di negara ini, Sultan Sharafuddin bertitah, baginda telah memanggil mengadap Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ketua Polis Selangor serta beberapa anggota MAIS, bagi mendapatkan maklumat lengkap dan mengenal pasti langkah segera yang perlu diambil untuk menanganinya.
“Berikutan mesyuarat itu, Beta menitahkan semua agensi agama Islam di Selangor, iaitu MAIS, JAIS, Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor bersama-sama PDRM (Kontinjen Selangor dan Bukit Aman) bekerjasama mengambil langkah serius menyiasat secara mendalam bagi memastikan semua pihak yang disyaki terbabit secara langsung dan tidak langsung dengan kesalahan jenayah ini, diheret ke mahkamah serta didakwa.
“Pada masa sama, sebagai langkah pencegahan bagi mengelak kanak-kanak terbabit daripada terus dianiayai, Beta telah menitahkan agar semua rumah amal dan sekolah Islam bawah kawalan GISBH serta rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terbabit apa-apa kegiatan jenayah, termasuk jenayah syariah, hendaklah diarah ditutup segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Selangor.
“Jawatankuasa Fatwa Selangor juga digesa mengkaji dan meneliti bagi memutuskan persoalan berkaitan amalan GISBH sama ada ia menyeleweng atau bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menasihati ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak ke sekolah agama atau pusat penjagaan amal, agar menyemak latar belakang untuk mengelakkan institusi tidak berdaftar atau melaksanakan program dan pembelajaran meragukan.
Titah baginda, ia bagi memastikan anak terbabit dididik dan dijaga dengan sewajarnya, selain mengelak berlaku pengabaian serta eksploitasi terhadap mereka.
“Beta ingin memberi peringatan sekali lagi kepada semua pihak, khususnya pihak berkuasa agama, untuk memandang serius isu berkaitan tindak-tanduk kumpulan GISBH, terutama apabila membabitkan kanak-kanak dan ajaran sesat yang disyaki diamalkan oleh mereka.
“Tindakan segera dan tegas tanpa sebarang kompromi perlu dilakukan bawah undang-undang terhadap mana-mana pihak yang melakukan jenayah terhadap kanak-kanak serta amalan yang bertentangan dengan akidah, demi memelihara kesucian agama Islam.
“Beta tidak mahu kita hanya diumpamakan ‘tin kosong’, yakni hanya pandai bercakap tetapi tiada hasilnya. Kita hendaklah berpegang kepada prinsip ‘walk the talk or putting your words into action’.
“Di samping itu, Beta juga menyeru semua agensi penguat kuasa agama dan polis agar menjalankan siasatan dengan telus serta sentiassa memelihara integriti dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka,” titah baginda lagi.
Subuh tadi, lebih 200 pegawai dan anggota Polis Kontinjen Selangor serta Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) menggempur besar-besaran kesemua premis perniagaan dimiliki rangkaian GISBH di Bandar Country Homes, Rawang.
Serbuan bermula jam 6.30 pagi itu turut disertai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Premis terbabit disita manakala peralatan berkaitan dirampas manakala struktur GISBH yang dibina secara salah dirobohkan, antaranya di kawasan padang yang dijadikan restoran dan gerai.
BACA JUGA MoU peruntukan pembangkang: Boleh dah ‘tutup buku’
Â