Tular wanita Palestin buat kecoh, ini penjelasan Duta
Tular dua wanita Palestin yang membuat kekecohan dan merosakkan harta benda awam di Wisma Transit.
Mereka berdua adalah sebahagian daripada 127 orang awam Palestin yang dibawa ke Malaysia pada 16 Ogos lalu untuk menerima rawatan perubatan berikutan serangan Israel ke atas Gaza.
Wanita itu dikesan berkelakuan tidak terkawal di Wisma Transit, lokasi penduduk Palestin yang cedera dan keluarga mereka ditempatkan ketika tempoh rawatan perubatan diberikan.
Susulan itu, mereka akan dihantar pulang ke Gaza dalam masa terdekat, kata Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.
Mengesahkan kepada media, jelasnya, ia diputuskan selepas pertemuan beliau dengan Kementerian Pertahanan dan wakil Ops Ihsan hari ini bagi membincangkan insiden tersebut.
“Kami bersetuju bahawa ini adalah insiden terpencil. Ia tidak mewakili rakyat Palestin tetapi tindakan itu sangat memalukan dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Dalam masa sama, Walid turut mengingatkan rakyat Palestin di Malaysia yang lain supaya menjaga kelakuan mereka.
“Bagi mereka di sini, jika mereka tidak berpuas hati, mereka boleh kembali ke tempat asal mereka. Menghantar wanita ini pulang harus menjadi pengajaran kepada yang lain,” katanya.
Ujarnya, kerajaan Palestin sangat menghargai bantuan yang dihulurkan kepada mereka oleh Malaysia dan rakyatnya.
“Rakyat Palestin yang cedera dan saudara mereka di sini harus menghargai apa yang kerajaan Malaysia lakukan untuk membantu mereka.
“Semasa mereka berada di sini, mereka mesti menghormati undang-undang tuan rumah.
“Mereka juga harus menghargai peluang yang diberikan kepada mereka, berbanding ribuan lain yang masih menderita di tanah air di Gaza. Mereka di sana tidak mempunyai bantuan seperti ini,” katanya.
Walid turut mengecam kejadian itu malah memohon maaf bagi pihak masyarakat Palestin.
Katanya, kejadian itu juga diperbesar-besarkan oleh sesetengah pihak di media sosial namun berjaya diselesaikan serta ditangani pada hari yang sama.
Duta itu juga meminta rakyat Malaysia memahami perjuangan emosi dan tekanan yang dialami oleh rakyat Palestin.
“Kami meminta rakyat Malaysia memahami bahawa mereka ini melalui kesukaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini, mengakibatkan tekanan dari segi emosi dan fizikal akibat tindakan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel.
“Saya tidak akan membenarkan sesiapa menjejaskan hubungan baik dua hala antara Malaysia dan Palestin. Kami akan sentiasa menghargai apa juga usaha yang dilakukan Malaysia untuk rakyat Palestin,” tambahnya lagi.
Â