PM: Skim gaji kakitangan awam jadi keutamaan, perkara positif diumum Khamis

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penambahbaikan skim gaji penjawat awam akan menjadi keutamaan kerajaan apabila pendapatan negara bertambah.

Justeru itu, Perdana Menteri berkata beliau akan mengumumkan beberapa perkara positif berkaitan hasil pendapatan negara dari segi jumlah pelaburan yang sebenar dalam sesi penggulungan di Dewan Rakyat pada Khamis ini.

“Untuk bulan ini ngak mungkin ya pak (tidak mungkin) tetapi Insya-Allah dalam penggulungan pada Khamis bagi pihak JPM dan Kementerian Kewangan, saya akan berikan beberapa pandangan positif.

“Baik dari segi hasil pendapatan negara, dari segi jumlah pelaburan yang real bukan MoU… ada beza antara MoU dan Mo Do (buat), kalau saudara senior di MITI tahu, pengumuman tentang pelaburan tapi dua tahun tak sampai lagi.

“Jadi sebab itu saya setuju dalam Jemaah Menteri guna kaedah berbeza apa yang akan berlaku bulan ini atau bulan berikutnya dari segi tindakan dan antara kejayaan besar kita adalah untuk memperoleh dana IPIC dengan Abu Dhabi dengan rundingan sangat baik yang jauh lebih daripada jumlah yang kita harap sebelumnya,” katanya dalam ucapan dalam perhimpunan bulanan kakitangan JPM di Putrajaya pada Isnin.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadhillah Yusof dan menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar berucap dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada 6 Mac 2023. Foto FB JPM

BACA JUGA: Kenaikan gaji tahunan khas RM100 untuk penjawat awam

 

Â