Kes GIBSH: Sudah 625 ditahan, kes dari 4 peruntukan kini babit 10 akta

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pada peringkat awal siasatan kes GISB Holdings (GISBH), hanya empat peruntukan undang-undang digunakan yang membabitkan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ia bertambah kepada 10 sehingga kini.

“Dari segi angka (tangkapan), ia sangat dinamik sebab setiap siasatan akan membawa kepada penemuan baharu.

“Undang-undang yang digunakan sudah ada sembilan hingga 10 akta, asalnya empat akta sahaja tetapi semakin kita buka kertas siasatan kita kesan pelanggaran turut melibatkan akta lain.

“Jadi, kalau ditanya kepada saya, apakah akan ada lagi tangkapan, saya kata biar pihak polis buat siasatan berasaskan kepada jenis kesalahan mengikut seksyen dan akta tertentu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Program Sua Mesra Bersama KDN dan Sambutan Hari Pendaftaran Negara Ke-76 di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir, di Bandar Baharu, Kedah hari ini.

Saifuddin berkata tujuan siasatan dilakukan untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan kerana setiap tindakan diambil polis berasaskan bukti meyakinkan ke atas mereka yang terbabit.

“Soal siasat ke atas penjaga, pimpinan GISBH atau kanak-kanak terbabit sangat komprehensif.

“Kalau ada kewajarannya, siasatan akan dilengkapkan dan kemudian diserah kepada Pejabat Peguam Negara.

“Jumlah tangkapan terkini ahli GISBH yang dimaklumkan beberapa hari lalu kepada saya oleh pihak polis, adalah seramai 625 orang setakat ini,” kata Saifuddin lagi.

BACA JUGA Anwar cerita apa yang dibimbanginya semasa awal jadi PM

Â