PH Johor harap kerjasama terus kukuh dengan pelantikan Teo Nie Ching 

Pengerusi Pakatan Harapan Johor, Aminolhuda Hassan mengucapkan tahniah dan syabas atas pelantikan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching sebagai Pengerusi DAP Negeri Johor yang baharu menggantikan Liew Chin Tong.

Pelantikan tersebut menempa sejarah buat Nie Ching kerana beliau wanita pertama menerajui DAP Johor.

Aminolhuda dalam satu kenyataan pagi ini berharap, kerjasama antara parti gabungan PH Johor terus kukuh dengan barisan kepimpinan DAP yang baru dilantik.

“Pakatan Harapan Johor juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepad Liew Chin Tong sepanjang bersama dalam kepimpinan PH Johor sejak beliau mengetuai DAP Johor pada tahun 2014. 

“Kerjasama ini berjaya membentuk kerajaan PH 1.0 selepas PRU 14 dan terus kekal sebagai gabungan yang mantap menghadapi PRU15. 

“Semoga YB terus berjaya dalam kerjayanya di peringkat yang lebih tinggi dalam kepimpinan DAP Nasional,” kata Aminolhuda yang juga Pengerusi AMANAH Johor.

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi dilantik sebagai Timbalan Pengerusi DAP Johor.

Nie Ching dan Shu Qi akan berganding bahu mengemudi DAP Johor, menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan Pilihan Raya Negeri ke-16, yang dijangka berlangsung dalam tempoh kurang dua tahun lagi.

Seorang lagi pemimpin wanita DAP, Gan Peck Cheng yang juga ADUN Penggaram dan bekas Timbalan Speaker DUN Johor pula dipilih sebagai Naib Pengerusi DAP Johor, bersama Sheikh Umar Bagharib Ali.

BACA JUGA Malaysia kini dalam kategori berpendatan pertengahan atas WIPO