Menang di Mahkota bukan sebab untuk Umno angkuh, bongkak

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno pada malam ini memutuskan bahawa kejayaan BN di dalam PRK DUN Mahkota tidak harus menjadi sebab untuk Umno menjadi angkuh dan bongkak.

“Mesyuarat menegaskan bahawa kemenangan ini tidak haris menjadikan Umno angkuh dan bongkak sebaliknya memastikan mandate yang diberikat rakyat dilaksanakan sebaik mungkin dengan penuh tawaduk dan beramanah,” kata setiausaha agung Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

“Kemenangan di DUN Mahkota juga memberikan isyarat jelas bahawa rakyat menerima baik model kerjasama kerajaan Perpaduan berteraskan kesederhanaan, toleransi, tidak emstrem dalam memainkan sentiment agama mahupun bangsa yang boleh memudaratkan keharmonian rakyat berbilang kaum.”

Dalam PRK tersebut calon Umno-BN Syed Hussien Syed Abdullah menumpaskan calon Perikatan Nasional dengan majoriti 20,648 undi.

Selaras dengan kerjasama yang membuahkan hasil itu, Umno juga telah memutuskan untuk “memperkukuhkan kerjasama dan gerak kerja bersama di kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan sebagai manifestasi keseriusan dan komitmen Umno bagi memastikan kelangsungan kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.”

Ahli Umno di semua peringkat juga diminta berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi untuk membantu rakyat tanpa mengambil kira ideologi politik dan kaum.

BACA JUGA: Penukaran cuti hujung minggu akan sokong pertumbuhan ekonomi negara, kata pengerusi DAP Johor baharu

Â