Formula Rafizi dapat sambutan, lebih 22,000 daftar Inisiatif Pendapatan Rakyat
Lebih 22,319 orang direkodkan sudah berdaftar dengan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) sejak mula dilancarkan oleh Kementerian Ekonomi pada 26 Februari lalu.
Menterinya Rafizi Ramli berkata, daripada jumlah keseluruhan pendaftaran itu, seramai 11,605 memohon menyertai Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan 6,472 lagi dalam Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) serta 4,240 di bawah Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).
“Sejak mula dilaksanakan pada minggu lepas seramai 22,319 telah berdaftar di bawah IPR.
“Ia menunjukkan rakyat menyambut baik pelaksanaan ini kerana jangkaan kementerian hanya menganggarkan 100,000 penyertaan bagi tahun ini,” katanya kepada sidang media di Putrajaya hari ini.
Rafizi berkata kementerian berharap agar semua pemegang taruh termasuklah penguat kuasa tempatan, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut bersama menjayakan program ini.
“Kementerian berharap agar semua pemegang taruh bukan sahaja rakyat tetapi badan yang berkenaan untuk turut melibatkan diri terutama di 20 daerah paling termiskin di Malaysia.
“Ikhtiar ini dibuat bagi membincangkan langkah yang terbaik bagi membantu meningkatkan ekonomi setempat,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan memberi bayangan program INTAN akan mula dilaksanakan pada awal April di Putrajaya melibatkan 20 peserta utama.
“Buat masa sekarang program INTAN akan memulakan program pada minggu April melibatkan 20 peserta untuk menguruskan 10 ekar tanah.
“Setiap peserta akan diberi setengah ekar tanah dan mereka juga diberi latihan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan.
“Pihak kementerian juga menyediakan pembekal yang bersedia untuk membeli dan mampu menjana pendapatan pengusaha RM2,000 hingga RM3,000 sebulan,” ujarnya.
Kementerian Ekonomi tidak menunggu lama apabila seminggu selepas pembentangan Belanjawan 2023, ia melancarkan program IPR pada 26 Februari lalu.
Rafizi ketika melancarkan program itu dipetik sebagai berkata sebagai permulaan, IPR menyasarkan penjualan makanan siap seperti sarapan dan makanan tengah hari pada harga serendah RM2 dalam komponen INSAN.
Katanya program itu juga membuka peluang kepada rakyat menjual makanan siap untuk menambah pendapatan mereka.
Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sejumlah RM750 juta peruntukan disediakan kepada Kementerian Ekonomi untuk melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat.
BACA LAGI: Asyik tanya formula, Rafizi lancar inisiatif jualan makanan serendah harga RM2