Sah dua pengikut ‘Tuhan Harun’ terlepas tali gantung, ini kronologi kes
Dua pengikut kumpulan ajaran sesat ‘Tuhan Harun’ terlepas hukuman gantung yang dijatuhkan terhadap mereka lapan tahun lalu.
Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara menggantikan hukuman gantung dengan penjara 40 tahun kerana membunuh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), 11 tahun lalu.
Menurut Sinar Harian, panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan Sumustapha Suradi, 50, dan Shamsinar Abdul Halim, 47, untuk mengetepikan hukuman gantung yang dikenakan terhadapnya.
Sumustapha dikenakan hukuman penjara itu bermula tarikh tangkap, sementara Shamsinar dikenakan 12 kali sebatan.
Pada 2016, Mahkamah Tinggi Kuantan menjatuhkan hukuman mati terhadap dua lelaki itu yang didapati bersalah membunuh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JAIP, Ahmad Raffli Abd Malek.
Raffli, 49, ditembak di depan rumahnya di Bandar Indera Mahkota, Kuantan pada 10 Nov 2013.
Rayuan mereka untuk mengetepikan hukuman ditolak Mahkamah Rayuan pada 8 Feb 2018 dan Mahkamah Persekutuan pada 29 Nov 2018.
Ketua kumpulan ajaran sesat itu pula iaitu Harun Mat Saat yang lebih dikenali Tuhan Harun turut didakwa kerana bersubahat dalam pembunuhan berkenaan.
Tetapi, tuduhannya digugurkan pada 26 Ogos 2016 selepas meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada 16 Ogos tahun sama akibat masalah pernafasan.
BACA JUGA Rupanya anak tokoh politik, ini latar belakang bakal isteri Tengku Muhammad