Mempertahankan Kerajaan Perpaduan adalah memelihara program untuk rakyat
Dalam minggu lalu terdengar laporan ada ura-ura usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan. Ia disebut sebagai bukan “tebuk atap” tetapi “atap bocor”. Inilah istilah yang digunakan oleh seorang pemimpin utama parti pembangkang.
Mereka yang sentiasa mengikut cakap-cakap politik tentu faham maksud ungkapan-ungkapan itu kerana ia tertular dalam portal berita dan media sosial. Sementara bagi mereka yang tidak faham, lupakanlah saja kerana ia tidak penting untuk rakyat.
Namun, apa yang dilaporkan adalah usaha itu berupa Perikatan Nasional (PN) menarik keluar sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada Kerajaan Perpaduan dengan menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada pemimpin mereka.
Ia diikuti dengan pemalingan sokongan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) daripada Kerajaan Perpaduan kepada suatu kerajaan lain pimpinan PN.
Oleh sebab, bilangan ini tidak mencukupi lagi, maka ia dilengkapi dengan 10 orang Ahli Parlimen Umno. Inilah yang dikatakan “atap bocor.”
Sebenarnya, cerita-cerita begini tidak perlu dilayan kerana ia mengganggu fokus rakyat dan negara terhadap kerja dan program Kerajaan Perpaduan untuk penggal lima tahun ini.
Malangnya, kerja-kerja baik ini akan sentiasa diganggu oleh pihak pembangkang dengan cerita-cerita negatif dan tidak produktif.
Pembangkang mempunyai peranannya dalam sistem demokrasi tetapi bukanlah dengan menyebarkan cerita-cerita yang boleh menjejaskan kestabilan negara.
Ini kerana jika 10 orang Ahli Parlimen Umno itu menarik diri daripada menyokong Kerajaan Perpaduan, maka mereka telah “melompat parti”. Sebabnya, Umno sebagai parti telah mendukung Kerajaan Perpaduan.
Jika mereka “melompat parti”, ia bermakna mereka perlu melepaskan kerusi Parlimen dan 10 pilihan raya kecil mesti diadakan. Tidakkah itu hanya menyusahkan rakyat dan negara? Maka cerita ini menemui jalan buntu.
Sebab itu, ada pemerhati politik berpendapat bahawa cerita-cerita ini tidak mempunyai kebenaran dan ia bukan suatu konspirasi yang hendak dilaksanakan.
Sebaliknya ia merupakan suatu perang saraf atau propaganda untuk melemahkan semangat kakitangan-kakitangan awam yang kini sedang bertungkus-lumus menjayakan dasar dan program Kerajaan Perpaduan untuk rakyat.
Tentulah tidak dapat dikenal pasti secara tepat apakah tujuan cerita-cerita ini direka dan disebarkan. Malah, juga tidak diketahui bahawa konspirasi ini benar-benar berlaku atau tidak.
Jika benar-benar berlaku pun juga tidak diketahui sama ada ia dirancang secara sulit atau terbuka dan jika secara sulit mengapakah rancangan ini bocor.
Atau ia sengaja dibocorkan oleh pemimpin tertinggi parti pembangkang itu. Tetapi tidaklah diketahui apa tujuan maklumat itu dibocorkan.
Hadi Awang (Marang-PN) tidak henti-henti menguar-uarkan bahawa kerajaan perpaduan akan runtuh kerana atap bocor.
Namun, apa yang pasti ialah perkhidmatan awam sedang giat melaksanakan segala dasar dan program kerajaan untuk mencapai matlamat Malaysia Madani.
Sesungguhnya, lima tahun iaitu jangka waktu penggal kerajaan bukanlah waktu yang lama. Dari satu segi kerajaan, termasuk perkhidmatan awam tidak cukup masa untuk melaksanakan semua yang dicita-citakan.
Seperti mana, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berkata sememangnya tidak semua yang dicita-citakan dapat dilaksanakan dalam masa lima tahun. Tetapi dalam jangka waktu ini, apa yang boleh dilakukan akan dibuat sebaik mungkin.
Tentulah dasar dan program kerajaan dari setiap kementerian perlu dilaksanakan oleh perkhidmatan awam. Rakyat boleh menyambut dasar dan program itu dengan memberi sokongan dan kerjasama.
Setelah memberi undi semasa pilihan raya umum, dan mandat mereka itu diterjemahkan dalam bentuk penubuhan Kerajaan Perpaduan yang memperkenalkan gagasan Malaysia Madani serta dasar dan program yang lahir, maka inilah masanya rakyat memanfaatkan sebarang kebaikan daripadanya.
Asas kepada kejayaan dasar dan program kerajaan adalah bersih daripada korupsi. Untuk itu, ia tidak boleh bergantung kepada undang-undang dan penguatkuasaannya semata-mata.
Apa yang lebih penting adalah disiplin semua pihak untuk mengelak diri daripada korupsi. Bagi menerapkan budaya tolak korupsi ini bukanlah suatu perkara mudah apabila ia telah terbenam dalam minda dan amalan sebahagian rakyat, dari ahli politik, ahli perniagaan, kakitangan perkhidmatan awam sehinggalah kepada orang awam.
Ia membabitkan dari sekecil-kecil wang ringgit sehingga berjuta-juta nilainya. Untuk merombak budaya bukannya mudah, dan ia mengambil masa lebih daripada lima tahun.
Dalam pada itu, dasar dan program untuk rakyat oleh kerajaan tidak semestinya semua boleh menurut kehendak parti yang memperolehi kerusi terbanyak dalam Parlimen. Ini kerana ia perlu juga dikompromi dan diselaras dengan kehendak-kehendak parti lain yang menjadi anggota Kerajaan Parlimen.
Contohnya, tidak semua kehendak Manifesto Pakatan Harapan (PH) dapat dilaksanakan kerana apa yang ada sekarang bukannya Kerajaan PH semata-mata tetapi adalah Kerajaan Perpaduan yang menggabungkan juga Manifesto BN, GPS dan GRS.
Maknanya perlu ada kompromi antara mereka bagi melaksanakan janji pilihan raya kepada rakyat. Tetapi gagasan Malaysia Madani yang merupakan sesuatu kebaikan tentulah dapat diterima oleh semua parti anggota Kerajaan Perpaduan.
Namun begitu, dalam sistem demokrasi yang diamalkan ini, kerajaan juga perlu berdepan dengan pembangkang bukan saja di Dewan Rakyat tetapi lebih-lebih lagi dalam media sosial. Jika pembangkang bertindak secara membina, itulah apa yang sepatutnya.
Tetapi apa yang berlaku ialah tindakan yang berbentuk fitnah dan menimbulkan rasa keraguan dan benci terhadap Kerajaan Perpaduan, ditambah lagi jika ia bernada sentimen perkauman dan keagamaan, maka ia hanya usaha mengganggu dasar dan program untuk rakyat.
Sebarang usaha untuk mengganggu atau menjejaskan dasar dan program bagi rakyat hanya merugikan orang ramai dan negara. Pilihan raya umum akan datang masih jauh lagi. Usaha pembangkang mengganggu sebarang kerja kerajaan itu wajar ditolak oleh rakyat.
Berkaitan dalam hal ini ialah anggota perkhidmatan awam. Walaupun apa saja pendirian peribadi mereka terhadap politik, mereka perlu ketepikannya dan bersikap profesional dengan menjalankan tugas yang dipertanggungjawab oleh kerajaan.
Ini kerana mereka dibayar gaji untuk melaksanakan tugas dengan amanah, jujur dan bersih. Wajar ada etika dan prinsip bagi mempertahankan siasah diri.
Bagaimanapun, sebagai warganegara, mereka bebas untuk mempunyai pendapat dan pendirian politik kepartian. Mereka boleh menyuarakannya dengan kawan-kawan dan sanak saudara tetapi pada peringkat peribadi. Dalam zaman media sosial, adalah mudah orang menjadi lalai dan menyuarakannya pada saluran itu.
Perbuatan itu tentu tidak boleh. Media sosial adalah platform awam yang terbuka walaupun dalam bentuk kumpulan WhatsApp.
Maka penjawat awam mesti mendukung dan menjayakan dasar dan program kerajaan yang ada pada hari ini. Jika tidak, pentadbiran dan sistem negara menjadi kacau-bilau.
Sememangnya politik itu sains dan seni untuk mendapatkan kuasa. Tetapi terdapat satu perkara penting di atasnya, iaitu kepentingan rakyat dan negara. Dalam merebutkan kuasa itu, ahli politik mesti mengambil kira bahawa rakyat mahu menikmati hasil daripada dasar dan program yang kerajaan telah sediakan.
Maka untuk itu, mereka perlukan kestabilan negara. Sebarang cerita-cerita berbentuk “tebuk atap” atau “atap bocor” mesti dibuang jauh-jauh.
BACA JUGA: Usaha meringankan beban guru membawa makna besar kepada cara hidup rakyat
Â