Polis buka mulut, dedah punca 4 pelajar tahfiz larikan diri
Empat pelajar pusat tahfiz yang ditemui semalam selepas menghilang sejak 8 Oktober lalu, disyaki melarikan diri kerana tidak tahan menjadi mangsa penderaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mendedahkan, hasil pemeriksaan awal terdapat kesan keceraan pada tubuh kanak-kanak tersebut.
Mereka yang merupakan pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat, Kuala Lumpur juga kemungkinan menjadi mangsa seksual.
“Hasil pemeriksaan awal, ada kecederaan. Kalau kita tengok tempoh masa itu, mungkin berlaku ketika mereka berada di pusat tahfiz.
“Perkara ini masih dalam siasatan. Mereka ini masih kanak-kanak, jadi segala keterangan yang mereka berikan (kepada pihak polis) mesti disokong dengan keterangan yang kukuh oleh pihak lain (saksi),” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Semalam, semua pelajar berusia antara 12 hingga 14 tahun itu ditemui ketika berjalan kaki di sekitar kawasan Kampung Bangi, Kajang oleh orang awam pada jam 11.58 malam, sebelum diserahkan kepada Balai Polis Bangi.
Ketika siasatan dijalankan, semua kanak-kanak itu mendakwa mereka didera, namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi membuktikan dakwaan itu.
“Melalui keterangan empat kanak-kanak itu, mereka melarikan diri (dari pusat tahfiz) kerana tidak tahan dengan keadaan di pusat tahfiz itu,” kata Rusdi.
BACA JUGA Pas tunggang agama bukan ikut cara agama
Â