Bahasa Melayu terus dibela di bawah kerajaan MADANI, DBKL seru orang ramai buat aduan
Dakwaan pembangkang kononnya segala hal berkaitan Melayu termasuk bahasa kebangsaan terancam di bawah kerajaan MADANI terbukti meleset apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tampil bertindak tegas mendaulatkan bahasa Melayu.
Lima premis perniagaan sekitar Jalan Imbi, Bukit Bintang dikompaun dan menerima notis akibat tidak menggunakan bahasa kebangsaan di papan iklan.
Tindakan tegas yang disifatkan pihak DBKL sebagai untuk ‘menyegarkan’ ingatan pihak terbabit diadakan susulan tular rakaman video di media sosial.
“Walaupun peraturan sudah lama diperkenalkan, nampaknya masih ada premis di sekitar Bukit Bintang yang tak faham atau buat-buat lupa tentang kepentingan bahasa Melayu.
“Hasil siasatan di Jalan Imbi, lima premis didapati melanggar Undang-undang Kecil Iklan (WP) 1982 dengan meminggirkan Bahasa Melayu di papan iklan mereka.
“Ya, nampaknya mereka lebih gemar mempamerkan bahasa lain. Tak apa, kita bantu ingatkan mereka dengan kompaun dan Notis Penguatkuasaan.
“Sekarang, mereka ada 14 hari untuk turunkan iklan tersebut, atau tindakan selanjutnya akan menyusul,” kata pihak DBKL menerusi hantaran di Facebook.
Sehubungan itu, DBKL akan terus memantau dan memastikan premis-premis lain tidak ‘terlupa’ pula pada masa akan datang.
“Jika anda ada nampak mana-mana papan iklan yang ‘gagal faham’ peraturan, terus lapor kepada kami menerusi https://adukl.dbkl.gov.my/,” pesan DBKL lagi.
BACA JUGA Betul ke kalau tak cuti Jumaat tak ikut Islam? Ini jawapan padu Dr Maza