‘Ah kau… masuk Parlimen pun malas’, Presiden Pas kena kecam selepas ‘sembang’ genosid Palestin

Tan Sri Abdul Hadi Awang dihujani kecaman orang ramai termasuk diingatkan tentang kekerapannya tidak menghadiri sidang Parlimen ketika Presiden Pas itu dilihat sekadar ‘sembang’ mengenai genosid di Palestin.

Menerusi kenyataan di platform X, Ahli Parlimen Marang itu berkata, penentangan terhadap penjajahan menjadi fardu ain kepada setiap rakyat apabila negara diceroboh dan dizalimi.

“Maka, kita wajib menunaikan tanggungjawab ini dengan melibatkan diri sama ada dengan kewangan, media, mahupun doa kepada para penduduk dan syuhada Palestin.

“Percayalah, apa-apa yang berlaku merupakan ujian daripada Allah yang menjanjikan kemenangan buat umat Islam.

“Tiada sesiapa yang boleh memberikan pengajaran kepada kaum Yahudi yang membunuh para nabi dan rasul selain umat Islam,” katanya.

Rakyat Palestin berterusan dibunuh walaupun sudah mengibarkan bendera putih.

Sehubungan itu, Abdul Hadi berkata, Himpunan 1 Tahun Taufan Al-Aqsa semalam di ibu negara perlu dijadikan satu kekuatan yang memperkasakan diri masing-masing.

“Marilah kita meneruskan perjuangan kita dengan jiwa dan roh kita bersama dengan Palestin,” kata bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu lagi.

Walau bagaimanapun, rata-rata komentar yang membanjiri hantaran tersebut menempelak ahli politik yang terkenal dengan Amanat Hadi di Banggol Peradong, Terengganu pada April 1981 itu.

“Ni (sertai himpunan memperjuangkan Palestin) rajin pula. Parlimen bukan main ponteng,” kata pengguna X, @klubstatement.

“Sebenarnya kau bukan nak pertahankan pun tanah Gaza tu. Lebih kepada menunggang isu Palestin,” kecam @ijam_rahim1744.

“Kapal Isra-hell lalu buat tak tau je 33 bulan,” tempelak @namzaron77 pula.

Hadi umum dikenali sebagai Ahli Parlimen yang memang ‘liat’ menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Semakan Harapandaily menerusi pangkalan data MyMP mendapati, Hadi hanya menghadiri 54 kali daripada 162 sesi persidangan Parlimen sejak 26 Julai 2021.

Ini bermakna kemunculan pemimpin Pas yang digelar ‘Tuan Guru’ oleh penyokong parti itu di Parlimen cuma 33 peratus daripada keseluruhan sesi persidangan.

Dalam masa sama, warganet turut berkongsikan semula kenyataan Hadi ketika Pas sebahagian daripada kerajaan Persekutuan pada 2021.

Ketika itu, bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkenaan berkata, Malaysia mengambil pendirian untuk tidak berpihak kepada mana-mana pihak atau negara terbabit dalam krisis yang berlaku antara negara ‘sahabat’ di Timur Tengah.

Untuk rekod, angka kematian rakyat Palestin akibat kezaliman rejim pengganas Israel sejak 7 Oktober 2023 sudah melebihi 42,00 orang dengan ribuan mangsa lagi syahid di bawah runtuhan bangunan akibat dibom.

Menurut Agensi Berita Palestin (WAFA), pihak berkuasa kesihatan tempatan juga mengesahkan 98,336 individu cedera setakat 12 Oktober.

BACA JUGA Anak muda pro-Tun M anggap pengakuan Hasmah hasil janaan AI