Banduan belia dilatih kerja kedi golf, ramai puji inisiatif KBS dan Jabatan Penjara ini

Orang ramai memuji inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Jabatan Penjara Malaysia memberi latihan perkhidmatan kedi golf untuk banduan belia.

Menerusi Program Rakan Muda: Skills For Life@AKBG, seramai 20 prospek penjara akan menjalani latihan perkhidmatan kedi selama lima hari bermula hari ini hingga 18 Oktober.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau percaya dengan bimbingan tenaga pengajar bertauliah daripada Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG) peserta-peserta akan mendapat latihan yang berkualiti.

“Latihan ini sebenarnya sebahagian daripada inisiatif pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di bawah KBS.

“Latihan dibahagikan kepada program latihan kemahiran sepenuh masa dan separuh masa. Pendekatan latihan kemahiran pada ketika ini adalah lebih fleksibel.

“Oleh sebab itu, latihan perkhidmatan kedi ini mampu disertai khususnya kepada prospek-prospek di Penjara Kajang.

“Kaedah latihan merangkumi teori, amali dan tugas di lapangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Menteri Belia dan Sukan bersama peserta Program Rakan Muda: Skills For Life@AKBG di Kelab Golf dan Rekreasi Penjara Kajang, hari ini.

Rata-rata memuji usaha KBS dan Jabatan Penjara melatih bekas banduan sebagai kedi golf bagi membantu mereka memperolekh pekerjaan dan memulakan hidup baharu.

BACA JUGA ‘Buat apa podcast’, Wan Fayhsal cabar debat secara langsung di TV