Pembangkang tunggang isu GISBH, pemimpin Bersatu ini terus pertikai tindakan selamatkan kanak-kanak
Ketua Penerangan Bersatu Wilayah Persekutuan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz terus bersuara mempertahankan sokongan kepada sekumpulan individu yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings (GISBH).
Menerusi kenyataannya hari ini, Tun Faisal masih menganggap mereka terbabit sebagai dizalimi dan “ditangkap secara salah” dalam Op Global yang dilaksanakan pihak polis bermula 11 September lalu.
“Akibat merujuk sumber yang salah, berlaku salah risikan dan salah tangkapan oleh polis.
“80 peratus daripada 96 ibu bapa yang Gerakan Pulangkan Anak-Anak Kami (GPAAK) hubungi bukan Ahli GISBH, 50 peratus daripada mereka langsung tiada kaitan dengan GISBH.
“Sejumlah besar daripada 174 anak-anak yang ditahan ini, tidak ditahan di rumah amal GISBH, sebaliknya ada yang ditahan di pusat jagaan, sekolah, asrama, pusat tahfiz, penempatan pekerja, rumah sewa, rumah tumpangan dan rumah persendirian,” katanya.
Tun Faisal yang bertindak sebagai jurucakap GPAAK berkata, perkara yang logik dan patut dibuat adalah untuk minta maaf dan melepaskan kanak-kanak terbabit sekiranya “dah salah tangkap”.
“Bagaimanapun JKM telah bertindak jahat dan melampaui batas apabila telah merampas, menahan, memisahkan, menyembunyikan anak-anak ahli dan bukan ahli GISBH ini (80 peratus daripada ibu bapa yang terlibat, bukan ahli GISBH) daripada ibu bapa mereka.
“Lebih melampau lagi apabila ada pegawai JKM yang menipu dan cuba memperdayakan ibu bapa ini agar menandatangani borang mengaku mereka mengabaikan anak-anak mereka.
“Mereka telah dipaksa untuk mengakui kesalahan dan jenayah yang tidak mereka lakukan.
“Ini adalah tindakan yang salah dan zalim, peliknya ada sejumlah ustaz-ustaz Wahabi dan pentaksub mereka boleh menyokong pula tindakan yang salah dan zalim ini?
“Mereka ini ustad ka apa? Syaitan bertopengkan manusia?” kata Tun Faisal yang juga bekas Setiausaha Akhbar Menteri Komunikasi dan Multimedia (2021 hingga 2022) itu.
Dalam masa sama, dia juga dilihat bersetuju 100 peratus dengan komentar seorang individu yang menyifatkan tindakan kerajaan terhadap GISBH sebagai zalim.
“Kerajaan huru-hara, kerajaan zalim, buat kerja tak tahu hujung pangkal, suka-suka tangkap secara paksa. Bukannya kes jenayah. PMX pun bingai,” kata Shahrizan Nor yang kemudian dipersetujui Tun Faisal.
Walau bagaimanapun, pendirian Tun Faisal dilihat bercanggah dengan tindakan beberapa sultan memperkenankan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri masing-masing bahawa GISBH dan rangkaiannya adalah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.
Semalam, Tun Faisal dalam sidang akhbar GPAAK di Putrajaya turut menyatakan rasa kesal terhadap kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Dia juga menganggap disebabkan kenyataan KPN, JAIS dan Mufti Perlis serta “media yang mengelirukan serta berbaur fitnah”, ada ibu bapa dan anak-anak ditahan dengan cara yang menyalahi undang-undang serta melampaui skop siasatan polis.
Dakwanya, 96 ibu bapa yang ditahan lokap selama tujuh hari enam malam sebelum ini majoritinya bukan ahli GISBH iaitu sekitar 80.2 peratus.
Menurutnya, 49 peratus daripada mereka terbabit tiada kaitan dengan GISBH dan dalam kalangan 51 peratus pula adalah staf sukarelawan syarikat persendirian atau program bimbingan organisasi berkenaan.
Tun Faisal turut mempersoalkan alasan golongan bukan ahli dan yang tiada kaitan dengan GISBH diperlakukan sebegitu rupa sehinggakan disabitkan kesalahan mendera kanak-kanak.
BACA JUGA Banduan belia dilatih kerja kedi golf, ramai puji inisiatif KBS dan Jabatan Penjara ini
Â