Peruntukan dana kerja naik taraf jalan Persekutuan: Senator pertahan tuntutan Guan Eng

Seorang senator mempertahankan tuntutan peruntukan dana Lim Guan Eng (PH-Bagan) meskipun ia ditentang oleh ahli Parlimen pembangkang, Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor).

Senator Dr A Lingeshwaran menjelaskan bahawa tuntutan tersebut dibuat oleh Lim kerana ia dimohon secara khusus untuk Parlimen Bagan sahaja.

Jumlah yang dimohon ialah RM5.6 juta tetapi jumlah yang diperoleh hanya RM4.2 juta kerana ada pihak yang mengagihkan RM 1.4 juta kepada kawasan Tasek Gelugor.

“Wan Saiful menuduh bahawa Lim Guan Eng menganggap wang rakyat adalah milik mutlak DAP untuk diagihkan ke kawasan yang dimenangi oleh parti DAP dan mengetepikan kawasan-kawasan Perikatan Nasional.

“Saya ingin menyangkal tuduhan ini dan menjelaskan bahawa peruntukan sebanyak RM5.6 juta telah dimohon daripada Menteri Kerja Raya dan ia telah diluluskan untuk Parlimen Bagan.

“Pada 9 Mac 2024, Lim Guan Eng mengutus surat kepada Menteri Kerja Raya untuk memohon peruntukan Projek Penaiktarafan dan Penyelenggaraan Jalan Mengikut Keutamaan Di Keseluruhan Kawasan Parlimen Bagan.

“Susulan daripada permohonan tersebut, Menteri Kerja Raya melalui surat beliau yang bertarikh 19 April 2024, telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 5.6 juta untuk kerja Berkala Pavemen dalam kawasan Parlimen Bagan dan juga RM 200,000 untuk kerja kecemasan dan kerja yang memerlukan tindakan segera oleh Jurutera Daerah.

“Perkara ini menjadi isu apabila lebih kurang sebulan yang lepas, kami dimaklumkan bahawa daripada jumlah peruntukan yang diluluskan oleh Menteri Kerja Raya, hanya RM 4.2 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan projek-projek di kawasan Parlimen Bagan manakala baki peruntukan telah disalurkan untuk pelaksanaan projek-projek di luar kawasan Parlimen Bagan.

“Jadi, amat jelas bahawa tujuan YB Lim Guan Eng membangkitkan isu ini adalah untuk mendapatkan balik peruntukan asal yang telah diluluskan untuk kawasan Parlimen Bagan.

“Bayangkan peruntukan yang telah diluluskan oleh YB Menteri pun boleh disalurkan untuk tujuan lain, apakah mesej yang kita hendak hantar tentang kredibiliti Kerajaan?

“Memang sangat ketara bahawa keseluruhan peruntukan tersebut diluluskan untuk kawasan Parlimen Bagan dan tiada unsur untuk mengetepikan kawasan-kawasan Perikatan Nasional.

Tasek Gelugor dianaktirikan?

Lingeshwaran turut membidas tuduhan liar Wan Saiful bahawa PH dan DAP mahu menganaktirikan Tasek Gelugor menerusi tuntutan ini.

“Kedua, YB Wan Saiful Wan Jan juga melemparkan tuduhan liar bahawa PH dan DAP mahu anaktirikan Tasek Gelugor.

” Jika, kita menyemak Laporan Prestasi Pelaksanaan Projek-projek RMK-12, daripada 45 projek yang diluluskan di Seberang Perai Utara yang dalam fasa pra-pelaksanaan, hanya 4 projek adalah berada dalam kawasan Parlimen Bagan.

“Dari segi jumlah nilai projek pula, keempat-empat projek tersebut bernilai sejumlah RM 713,643,900, iaitu hanya 17.2% daripada keseluruhan RM 4.15 bilion yang diluluskan untuk 45 projek dalam fasa pra-pelaksanaan di Seberang Perai Utara.

“Siapakah yang dianaktirikan sebenarnya? Adakah YB Lim Guan Eng mempersoalkan keadaan ini?

Lingeshwaran turut memberikan nasihat kepada Wan Saiful untuk mendapatkan peruntukan segera

“Jika Wan Saiful merasakan peruntukan segera atau kecemasan diperlukan untuk kerja-kerja pembaikan jalan-jalan di kawasan Parlimen Tasek Gelugor, saya cadangkan beliau ketepikan perbezaan politik dan berbincang tentang keperluan ini dengan PMX.

“Sudah tentu Kerajaan MADANI yang prihatin akan meluluskan peruntukan demi kesejahteraan rakyat.”

Pada 13 Oktober, Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN- Tasek Gelugor) menuduh Lim Guan Eng sebagai sombong kerana Lim menggesa pemulangan RM1.4 juta daripada RM5.6 juta yang digunakan untuk kerja naik taraf jalan persekutuan Butterworth ke Kepala Batas.

“Adakah Lim Guan Eng menganggap wang rakyat (tax payers money) adalah milik mutlak DAP untuk diagihkan sesama mereka sahaja?

“Adakah YB Lim berpandangan dana pembangunan hanya untuk kawasan mereka manakala kawasan-kawasan Perikatan Nasional diketepikan?

“Adakah PH dan DAP mahu anaktirikan Tasek Gelugor?”

Exco kerajaan Pulau Pinang Zairil Khir Johari bagaimanapun menyatakan perkara tersebut sudah selesai.

BACA JUGA: Lim Guan Eng warns of potential waste in RM 132 million allocated to medical trainees